EKONOMI

4.89 Juta Hektar Tanaman Sawit Peroleh Sijil MSPO Setakat Disember 2024 - Chan

10/03/2025 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Sejumlah 4.89 juta hektar atau 86.47 peratus kawasan bertanam sawit di Malaysia telah memperoleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) setakat 31 Dis 2024, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Beliau berkata komitmen Malaysia terhadap kemampanan melalui pensijilan MSPO bukan sahaja meningkatkan kredibiliti dan keterlihatan minyak sawit mampan Malaysia di pasaran antarabangsa malah memastikan pematuhan terhadap peraturan global yang semakin ketat. 

Katanya ini seperti Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang akan berkuat kuasa mulai 30 Dis 2025 kepada pemain industri sawit dan 30 Jun 2026 bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

“Kajian analisis jurang perbezaan di antara skim pensijilan MSPO 2.0 dengan perundangan EUDR yang dijalankan oleh Institut Perhutanan Eropah (EFI) dan MSPO, telah mendapati bahawa pensijilan MSPO berpotensi memudahkan pengendali EU mematuhi EUDR. 

“Hasil kajian ini juga memberi panduan untuk penyesuaian pensijilan MSPO dalam memenuhi keperluan maklumat tambahan EUDR,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan Senator Datin Ros Suryani Alang yang ingin tahu sejauh mana hasil sawit negara kukuh sebagai produk mampan dan berkualiti tinggi yang diiktiraf di peringkat global.

Chan berkata pengiktirafan pensijilan MSPO dalam ‘International Trade Centre (ITC) Sustainability Map’ pada 2024 turut mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap pengeluaran minyak sawit mampan. 

“Penyenaraian rasmi pensijilan MSPO dalam ITC Sustainability Map tersebut bukan sahaja memperkukuh kedudukan sebagai pensijilan kemampanan yang diiktiraf antarabangsa malah meningkatkan keterlihatan MSPO dalam kalangan pembeli global dan organisasi perdagangan,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400732