SEPANG, 10 Mac (Bernama) -- Capital A Bhd menyasar keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) menjelang Mei 2025 selepas pelan penstrukturan semulanya mendapat kelulusan pemegang saham dan Mahkamah Tinggi.
Pada 7 Mac, Bursa Malaysia Securities Bhd meluluskan pelan penstrukturan semula Capital A, yang membuka ruang kepada syarikat itu untuk keluar daripada status PN17.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat itu akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk pemegang saham dan pemegang sekuriti hutang Islam tidak bercagar boleh tukar boleh tebus (RCUIDS) pada April depan.
“Kami akan mengeluarkan pekeliling kepada pemegang saham mengenai pelan yang kami kemukakan untuk kelulusan daripada Bursa. Kemudiannya, kami akan mengadakan EGM untuk pemegang saham meluluskan rancangan itu, yang saya harap akan berlangsung pada pertengahan April.
"Apabila diluluskan pemegang saham, pelan pengurangan modal kami akan dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan kelulusan," katanya kepada media selepas program Capital A - Next Chapter hari ini.
Menurutnya, kelulusan Mahkamah Tinggi diperlukan sebagai pengesahan undang-undang untuk langkah penstrukturan semula syarikat yang seterusnya.
Kelulusan itu juga akan mengesahkan pelaksanaan pengurangan modal Capital A, yang merupakan langkah penting dalam rancangannya untuk mengagihkan saham AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL) kepada para pemegang sahamnya.
Pada masa depan, Fernandes berkata Capital A akan memberi tumpuan kepada perniagaan bukan penerbangan di samping memegang 18 peratus kepentingan dalam penerbangan.
Beliau berkata sebaik sahaja Capital A keluar daripada status PN17, syarikat itu akan memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu dan menyediakan syarikat akses lebih besar kepada pasaran modal.
Pencapaian itu, katanya, akan menyediakan potensi peluang penyenaraian individu bagi enam syarikat portfolio utamanya iaitu Asia Digital Engineering (ADE), Teleport, AirAsia MOVE, Santan, BigPay, dan Abc. International sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk meningkatkan nilai pemegang saham dan memacu pengembangan yang mampan.
Mengenai perkembangan lain, Fernandes berkata tawaran saham persendirian untuk mengumpul RM1 bilion dalam kumpulan itu dianggap telah selesai.
"Walaupun terdapat banyak desus desas, saya boleh sahkan bahawa tawaran saham persendirian RM1 bilion itu telah dilaksanakan," katanya namun enggan menjelaskan lebih lanjut sama ada Public Investment Fund (PIF) dari Arab Saudi melanggan tawaran saham persendirian itu.
Menurut laporan berita, PIF merancang untuk melabur kira-kira US$100 juta (US$1 = RM4.41) dalam Capital A, menjadikannya penyumbang terbesar kepada pengumpulan dana kumpulan syarikat penerbangan itu, yang disasarkan kira-kira RM1 bilion.
-- BERNAMA