DUNIA

Kao Puji Peranan Transformatif Vietnam Dalam Pertumbuhan ASEAN Pada Ulang Tahun Ke-30

10/03/2025 07:26 PM

 

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 10 Mac (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn memuji sumbangan Vietnam selama 30 tahun kepada blok serantau itu, menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai bukti komitmen negara itu terhadap visi perpaduan dan kemakmuran ASEAN.

Bercakap di Ibu Pejabat ASEAN untuk menandakan ulang tahun ke-30 keanggotaan Vietnam dalam ASEAN, beliau menekankan peranan transformatif yang dimainkan oleh negara itu sejak menyertai pada 1995, menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah mencapai Asia Tenggara yang bersatu.

"Penyertaan Vietnam dalam ASEAN membuka jalan kepada kemasukan Laos dan Myanmar pada 1997 dan Kemboja pada 1999, sekali gus mencapai visi ASEAN-10," katanya dalam ucapan perasmiannya.

Majlis itu juga menyaksikan lawatan pertama setiausaha agung Parti Komunis Vietnam, To Lam, ke Sekretariat ASEAN, lawatan yang dipuji Kao sebagai simbol komitmen Vietnam terhadap kerjasama serantau.

"Di bawah kepimpinan beliau, Vietnam sedang menjalani pembaharuan pentadbiran untuk meningkatkan kecekapan jentera negara dan meningkatkan ekonomi, sambil mengembangkan penglibatan globalnya dan memperdalam kerjasama dalam ASEAN dan seterusnya," katanya.

Beliau juga menekankan peranan penting Vietnam dalam merapatkan jurang pembangunan dalam ASEAN, memetik Deklarasi Hanoi 2001 mengenai merapatkan jurang perbezaan, dan kepimpinan Vietnam semasa menggalas pengerusi ASEAN pada 1998, 2010 dan 2020.

"Ketika ASEAN  melangkah ke arah menerima pakai Visi Komuniti ASEAN 2045 tahun ini, kepimpinan dan penyertaan aktif Vietnam terus memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan kolektif kita," tambah Kao.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400959