Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan Singapura akan berusaha mempercepatkan proses ekstradisi Paulus Tannos, seorang ahli perniagaan yang dikehendaki pihak berkuasa Indonesia kerana didakwa terbabit dalam skandal rasuah projek kad pengenalan elektronik negara itu (projek e-KTP).
Kementerian Undang-Undang menyatakan bahawa kerajaan memandang serius kes ini dan akan melakukan segala yang boleh di bawah undang-undang bagi memudahkan permohonan ekstradisi itu.
"Permintaan ini sedang diproses mengikut Akta Ekstradisi Singapura 1968 dan Perintah Ekstradisi Pelarian (ET). Proses undang-undang bagi membolehkan permintaan ini dimulakan mengikut prosedur yang sewajarnya serta prinsip kedaulatan undang-undang, selaras dengan amalan antarabangsa," menurut kenyataan kementerian pada Isnin.
Pihaknya juga menyatakan bahawa pihak berkuasa Singapura dan Indonesia bekerjasama rapat dalam kes ini, yang merupakan permintaan ekstradisi pertama oleh Indonesia di bawah perjanjian ekstradisi dua hala mereka yang berkuat kuasa pada 22 Mac 2024.
Tannos, yang turut dikenali sebagai Tjhin Thian Po yang juga Penduduk Tetap Singapura, ditahan di sini pada 17 Jan susulan permintaan sementara daripada Indonesia pada 19 Dis 2024 dan perintah mahkamah Singapura.
Singapura menerima permintaan rasmi daripada Indonesia untuk mengekstradisi Tannos pada 24 Feb.
Jabatan Peguam Negara (AGC), selaku Pihak Berkuasa Pusat Singapura bagi permintaan ekstradisi, memulakan semakan ke atas permintaan itu serta dokumen berkaitan. Setelah syarat undang-undang ekstradisi dipenuhi, perkara itu akan segera dikemukakan di mahkamah.
Secara amnya, ekstradisi mengambil masa kurang daripada enam bulan sekiranya seseorang pelarian tidak membantah proses itu.
Menteri Undang-Undang dan Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam dalam sidang media pada Isnin berkata kes Tannos dijangka mengambil masa lebih lama kerana peguamnya memberi petunjuk yang mereka akan membantah ekstradisi itu.
"Jika itu berlaku, mahkamah perlu mendapatkan penghujahan dan keterangan daripada kedua-dua pihak. Kita perlu memberi masa kepada pihak-pihak, kemudian akan ada hujah di mahkamah. Semua ini akan mengambil masa.
"Jadi, ia mungkin mengambil masa dua tahun, atau lebih lama lagi bergantung kepada sejauh mana tindakan undang-undang yang akan diambil," katanya.
Shanmugam berkata Tannos berhak memohon ikat jamin serta meminta lebih masa untuk menyediakan kesnya.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan meskipun Tannos mengemukakan pasport diplomatik yang dikeluarkan oleh Guinea-Bissau, ia tidak memberikannya sebarang imuniti diplomatik.
Menurut agensi berita Indonesia - Antara, Tannos telah berada dalam senarai dikehendaki Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) Indonesia sejak 19 Okt 2021.
-- BERNAMA