DUNIA

Sindiket Penipuan Pekerjaan: 26 Rakyat Malaysia Diselamatkan Di Myanmar Dihantar Pulang Esok

10/03/2025 08:50 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 10 Mac (Bernama) -- Kumpulan kedua 26 rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar dijangka dihantar pulang esok, menurut Kedutaan Besar Malaysia di Thailand.  

Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand Bong Yik Jui berkata kedutaan di Bangkok bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand, Kedutaan Besar Myanmar di Bangkok serta Kedutaan Besar Malaysia di Yangon bagi memastikan kepulangan mangsa berjalan lancar dan selamat.  

"Pihak berkuasa Myanmar dijangka mengusir mangsa ke Thailand melalui Jambatan Persahabatan Kedua Thailand-Myanmar di Maesot, Wilayah Tak, esok. Mangsa rakyat Malaysia kemudiannya akan dihantar pulang dengan segera," katanya kepada Bernama pada Isnin.  

Bong menambah bahawa Kuasa Usaha Malaysia ke Myanmar, Johan Ariff Abdul Razak akan hadir bagi memastikan proses pengesahan identiti mangsa rakyat Malaysia esok di Maesot berjalan lancar.

Bong berkata kesemua mangsa dijangka pulang ke Malaysia melalui jalan darat menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

"Pegawai konsular kami akan membantu mangsa dengan menghubungi waris mereka di Malaysia dan mengeluarkan dokumen perjalanan sementara bagi penghantaran pulang mereka esok," kata Bong.  

Sementara itu, Johan berkata 26 mangsa berkenaan diselamatkan dari tiga lokasi berasingan di Myanmar.  

Kumpulan itu termasuk tiga wanita dengan mangsa termuda berusia 21 tahun.  

Dalam perkembangan berkaitan, Johan berkata masih tidak jelas berapa ramai mangsa rakyat Malaysia yang sedang menunggu pengusiran dari Myanmar kerana tidak semua daripada mereka telah menghubungi kedutaan untuk mendapatkan bantuan.  

"Keadaan di Myanmar sangat kucar-kacir, dan saya hanya dapat menganggarkan bahawa mungkin terdapat lebih daripada 20 mangsa rakyat Malaysia yang masih menunggu pengusiran," katanya.  

Pada 6 Mac, Kementerian Luar Thailand mengumumkan rancangan untuk menghantar pulang 1,500 individu yang diselamatkan daripada sindiket penipuan di Myanmar setiap minggu.  

Bulan lepas, seramai 15 rakyat Malaysia adalah antara 260 warga asing yang diselamatkan daripada sindiket pusat panggilan di Myawaddy, Myanmar. Mereka berjaya dibawa pulang ke Malaysia pada 24 Feb dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan.  

-- BERNAMA  

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400983