JENAYAH & MAHKAMAH

Hantaran Facebook Najib Tidak Wajar - DPP

10/03/2025 09:04 PM

PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Pihak pendakwaan dalam perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa hantaran terkini di Facebook bekas perdana menteri itu bersifat subjudis terhadap perbicaraan yang sedang berlangsung.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ahmad Akram Gharib memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa kenyataan media dua halaman yang dimuat naik di Facebook Najib pada Jumaat lepas adalah ‘amat tidak wajar’ kerana bersifat berat sebelah.

“Hantaran itu telah menerima 8,000 tanda suka (like), 560 perkongsian dan 468 komen setakat hari ini, selain reaksi lain yang tidak memihak kepada pihak pendakwaan.

“Hantaran itu berkaitan keterangan saksi pembelaan ke-13 R Rajagopal, bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Bukit Aman serta bekas pengerusi 1MDB Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin,” katanya.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa kenyataan media itu sepatutnya dilaporkan secara faktual dan objektif tanpa membuat sebarang kesimpulan.

“Sebelum ini, Yang Arif telah memberi amaran kepada pasukan pembelaan mengenai isu sama. Pihak pembelaan sebelum ini menyatakan bahawa mereka akan mengeluarkan kenyataan tetapi mengelak daripada menyentuh perkara yang masih dalam perbicaraan. Namun, hantaran ini jelas menjejaskan keadilan perbicaraan. Oleh itu, saya memohon agar Yang Arif mengeluarkan amaran kepada pihak pembelaan,” kata Ahmad Akram.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berhujah bahawa kenyataan itu dibuat berdasarkan fakta sepenuhnya dan diperkuat oleh keterangan kedua-dua saksi di mahkamah.

“Saya tidak faham apa aduan dibangkitkan pihak pendakwaan kerana ia tidak berasas. Kenyataan itu dengan jelas menyebut bahawa keterangan Rajagopal masih belum selesai dan akan bersambung minggu ini.

“Apabila kes anak guam saya dilaporkan secara berat sebelah, pihak pendakwaan tidak mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Hakim yang mecatat perkara itu berkata: "Kita berusaha menjalankan perbicaraan tanpa terlalu banyak gangguan supaya fokus dapat diberikan kepada kes. Mungkin setelah semuanya selesai, langkah lebih baik adalah mengelakkan kenyataan media mengenai keterangan saksi sebelum mereka selesai memberi keterangan.”

Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2400992