JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Kolej Vokasional Lahad Datu: Dua Tertuduh Dakwa Dipaksa Buat Pengakuan

10/03/2025 09:15 PM

TAWAU, 10 Mac (Bernama) -- Dua tertuduh dalam kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan atau dikenali sebagai Ijat hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa mereka telah dipaksa membuat pengakuan berhubung kematian mangsa.

Tertuduh kelima memberitahu mahkamah dalam perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol bahawa dia telah diberikan sehelai kertas A4 oleh seorang guru disiplin kolej itu dikenali sebagai ‘Cikgu Firdaus’ untuk menulis pengakuannya.

Tertuduh itu yang juga saksi pembelaan pertama bersetuju dengan soalan peguam Datuk Kamarudin Mohmad Chinki ketika pemeriksaan balas bahawa guru itu mengambil pengakuan bertulis daripadanya secara paksa.

Kamarudin: Adakah Cikgu Firdaus memberikan kamu kertas A4 untuk menulis pengakuan kamu akibat kematian mangsa?.

Tertuduh kelima: Ada

Kamarudin: Saya katakan kepada kamu bahawa pengakuan yang kamu tulis di dalam kertas A4 itu adalah secara paksa dan bukan atas kerelaan kamu sendiri, setuju?

Tertuduh kelima: Setuju

Sementara itu, tertuduh ketujuh yang juga saksi pembelaan kedua memberitahu mahkamah bahawa dia telah dipaksa membuat pengakuan memukul mangsa oleh pegawai polis yang merakam keterangannya ketika berada di balai polis.

Menjawab pertanyaan peguam Datuk Ram Singh mengapa membuat pengakuan itu sedangkan dia tidak memukul mangsa, tertuduh ketujuh berkata dia telah digertak oleh pegawai polis yang menyiasat kes tersebut.

Ram: Apa yang mereka gertak ?.

Tertuduh ketujuh: Kalau saya tidak cakap 'diorang' tumbuk

Ram: Siapa 'diorang'?

Tertuduh ketujuh: Pegawai (polis) yang menyiasat saya

Ram: Adakah pegawai itu tumbuk kamu?.

Tertuduh ketujuh: Hampir

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Ram, Kamarudin dan Chen Wen Jye manakala lima lagi diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang serta Kusni Ambotuwo.

Pada 28 Feb lepas, Duncan memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lepas.

Perbicaraan disambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2401002