AM

Sultan Nazrin Rasmi Masjid Tuminah Hamidi

10/03/2025 09:36 PM

BAGAN DATUK, 10 Mac (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan Masjid Tuminah Hamidi di sini.

Keberangkatan tiba baginda pada kira-kira 7 malam disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sejurus tiba, Sultan Nazrin berkenan menanam pokok bunga tanjung atau Mimusops elengi sebelum melawat pameran serta berbuka puasa bersama lebih 2,500 jemaah.

Baginda turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih. 

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dalam kenyataan memaklumkan Masjid Tuminah Hamidi mula dibina pada 2017 dengan kos kira-kira RM53 juta menggunakan dana Yayasan Al-Falah dan selesai dibina pada 2023.

Masjid tersebut dinamakan sempena nama ibu bapa Ahmad Zahid iaitu Allahyarham Raden Hamidi Abdul Fatah dan Allahyarhamah Tuminah Abdul Jalil.

Masjid yang berkonsepkan masjid terapung di tepian Sungai Perak di daerah Bagan Datuk itu mampu menampung seramai 5,000 jemaah pada satu-satu masa dan dilengkapi dengan dataran terbuka, dewan serbaguna, bilik pameran serta bilik persidangan dua tingkat, selain menjadi tarikan pelancong.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2401005