KUANTAN, 11 Mac (Bernama) -- Seorang wanita warga emas kerugian RM100,000 akibat terperdaya dengan sindiket yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan wakil mahkamah, pada Ahad lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 60 tahun itu telah menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa mangsa terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram dan telah diarahkan untuk mengisytiharkan wang simpanannya.
“Mangsa diminta mengisytiharkan wang simpanannya dengan cara memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberikan suspek. Terperdaya dengan helah berkenaan, mangsa telah melakukan empat transaksi pemindahan wang ke dua akaun berbeza pada 7 hingga 9 Mac berjumlah RM100,000.
“Mangsa mula menyedari ditipu apabila diminta suspek untuk menambahkan wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata orang ramai dinasihatkan untuk segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan sekiranya menerima panggilan meragukan bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
-- BERNAMA