AM

Penyimpanan, Pengendalian Pengaruhi Kualiti Benih Padi Sah - Jabatan Pertanian

11/03/2025 01:52 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Jabatan Pertanian hari ini menjelaskan bahawa kualiti benih padi sah selepas perakuan pengesahan boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti kaedah penyimpanan, pengendalian serta tempoh masa antara pengesahan dan penggunaan benih oleh pesawah.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Nor Sam Alwi berkata sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam pengesahan benih padi, pihaknya menjalankan pemeriksaan ladang, pengauditan premis, semakan dokumentasi serta ujian kualiti bagi memastikan benih yang dihasilkan mematuhi piawaian yang ditetapkan.

"Antara piawaian tersebut termasuk Standard Jabatan Pertanian Malaysia 2021, Malaysian Standard (MS) 469:2012 serta peraturan The International Seed Testing Association (ISTA).

“Selain itu, pemeriksaan ketat turut dijalankan terhadap semua pengeluar benih padi sah yang dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), termasuk pemeriksaan ladang benih, audit premis pemprosesan, semakan dokumentasi dan ujian makmal bagi memastikan benih memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Sam menjelaskan bahawa selepas benih padi sah diperakui, tanggungjawab terhadap kualitinya terletak pada pengeluar, manakala isu berkaitan penyimpanan dan pengedaran adalah di luar bidang kuasa Jabatan Pertanian.

Beliau berkata demikian bagi menjawab beberapa laporan media baru-baru ini yang mendakwa berlaku kemerosotan kualiti benih padi sah.

Menurutnya, sebarang aduan berkaitan kualiti benih boleh dikemukakan kepada jabatan itu untuk siasatan lanjut berpandukan sistem kebolehkesanan (traceability) melalui label pada beg benih, bagi mengenal pasti punca dan proses penghasilannya.

Beliau turut mengingatkan pesawah supaya menyimpan label pada beg benih serta memastikan tidak menerima benih padi sah yang melepasi tarikh penggunaan yang ditetapkan, bagi memudahkan penyelesaian aduan berkaitan kualiti benih.

Selain itu, pesawah disarankan merujuk kepada panduan Rice Check untuk memastikan pengurusan tanaman padi mengikut prosedur yang betul, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil tanaman.

“Jabatan Pertanian komited untuk memastikan bekalan benih padi sah yang berkualiti serta menyokong pembangunan sektor pertanian negara,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2401131