GAZA, 11 Mac (Bernama-WAM) -- Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) memberi amaran bahawa krisis kemanusiaan di Gaza masih belum berakhir, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
“Penghantaran bantuan meningkat dengan ketara sepanjang tempoh gencatan senjata, namun jumlah itu masih terlalu kecil berbanding keperluan besar di lapangan,” menurut kenyataan ICRC pada Isnin.
Badan kemanusiaan itu menekankan bahawa selain bantuan kecemasan, komitmen jangka panjang diperlukan untuk membangunkan semula perkhidmatan asas serta memulihkan maruah masyarakat yang terjejas.
Bantuan juga perlu dipelbagaikan, termasuk bekalan bahan pembinaan untuk tempat perlindungan, peralatan perubatan dan perkhidmatan penting lain bagi menangani krisis yang semakin kompleks.
ICRC juga memberi amaran bahawa pemberhentian bantuan, termasuk gangguan bekalan elektrik ke satu-satunya loji penyahgaraman air di Gaza boleh memburukkan lagi keadaan.
Kesannya sudah mula dirasai melalui kenaikan harga dan kekurangan barang keperluan asas.
-- BERNAMA-WAM