JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Serbu Dua Premis Penyembelihan Ayam Beroperasi Secara Haram, Kotor

13/03/2025 09:21 AM

CHERAS, 13 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), menyerbu dua premis penyembelihan ayam di sekitar Cheras di sini, awal pagi tadi kerana beroperasi secara haram dan kotor.

Dalam operasi pada 1 pagi itu, didapati ayam diletakkan di atas lantai dalam keadaan jijik dan kotor.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur Mohd Sabri Seman berkata lebih 3,000 kilogram ayam dianggarkan bernilai RM28,000, disita daripada dua premis terbabit yang sebelum ini pernah diberikan notis tutup operasi oleh agensi lain pada Januari lepas.

“Kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Sabri berkata premis penyembelihan yang beroperasi pada 8 malam hingga 3 pagi setiap hari itu menggunakan khidmat pekerja warga asing yang turut sama dalam proses penyembelihan ayam.

Beliau berkata 26 warga asing dari India dan Bangladesh yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen, ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Mohd Sabri berkata pihak Jakim juga akan menjalankan siasatan kerana premis berkenaan disyaki melanggar Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Dalam pada itu, beliau berkata KPDN dengan kerjasama Jakim telah melaksanakan pemeriksaan di 11 premis hotel sekitar ibu negara bermula 2 Mac hingga Selasa lepas, bagi memastikan pematuhan terhadap penyediaan makanan halal.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2401822