Seiring dengan perkembangan pesat teknologi digital yang kini memainkan peranan kritikal dalam kehidupan harian masyarakat global, risiko ancaman siber juga semakin meningkat dan bertambah kompleks.
Isu keselamatan siber seperti penggodaman dan penipuan dalam talian kian canggih, menyukarkan pihak berkuasa untuk menangani. Ditambah pula jenayah ini lazimnya merentas sempadan dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak luar.
Mutakhir ini, serangan siber dilihat menyasarkan aset-aset kritikal sesebuah negara seperti infrastruktur kerajaan, institusi kewangan serta perniagaan, membawa cabaran yang bukan calang-calang untuk diatasi.
Dalam konteks ini, ASEAN hadir sebagai sebuah perkumpulan yang jitu dengan memperkukuh kerjasama serantau bagi melindungi kepentingan setiap negara anggota dan juga wilayah itu secara amnya.
ANCAMAN DUNIA SIBER TANPA SEMPADAN
Menurut Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta, Indonesia Datin Sarah Al Bakri Devadason, ancaman siber adalah antara cabaran utama yang dihadapi oleh negara ASEAN pada masa ini, meliputi jenayah seperti penipuan dalam talian dan juga serangan penggodam ke atas infrastruktur kerajaan.
“Kita sebenarnya sangat terdedah dalam dunia masa kini yang dipacu oleh teknologi canggih. Memahami ancaman siber membolehkan kita meningkatkan keupayaan keselamatan siber dan mengatasi kelemahan yang ada.
“Kita tengok institusi kewangan misalnya, semakin kerap kita dengar kes wang disedut keluar, iaitu satu bentuk pencerobohan terhadap kaedah keselamatan perbankan,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di luar Persidangan Serantau Institut ASEAN mengenai Keamanan dan Perdamaian (ASEAN-IPR) tentang Keselamatan Siber dan Peranan Teknologi Maklumat dalam Memupuk Budaya Keamanan di ASEAN, di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
Persidangan selama tiga hari yang berlangsung mulai 24 Feb itu, dianjurkan oleh ASEAN-IPR dengan sokongan Dana Kerjasama ASEAN-Korea (AKCF), bertujuan mengupas pelbagai isu berkaitan keselamatan siber.
Mengulas lanjut, Sarah berkata cabaran tersebut mengetengahkan keperluan kepada langkah-langkah keselamatan siber yang utuh, terutamanya ketika ASEAN berusaha memperkukuh kestabilan politik dan integrasi sosial dalam dunia yang kini bergerak tanpa sempadan.
“Kerjasama siber sudahpun wujud. Namun, dengan evolusi teknologi yang semakin canggih serta kaitannya dengan keselamatan dan ancaman siber, keperluan kepada kerjasama siber itu menjadi lebih mendesak,” katanya, menambah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Jenayah Siber yang baru diterima guna, adalah satu langkah ke depan dalam menangani ancaman siber di peringkat global.
TINGKATKAN KERJASAMA ASEAN
Sarah berkata ASEAN melaksanakan usaha bersepadu menerusi pelbagai inisiatif, antaranya Visi Komuniti ASEAN 2045 yang meliputi tonggak utama komuniti - politik, keselamatan, ekonomi, sosial dan budaya.
“Kita juga ada Pelan Strategik Kesalinghubungan ASEAN. Kesemua usaha ini saling melengkapi kerana keselamatan siber memberi impak kepada semua bidang berkenaan. Keupayaan siber juga memainkan peranan dalam kesalinghubungan ASEAN,” katanya.
Menurut beliau lagi, ASEAN turut bekerjasama rapat dengan 11 rakan dialog berdasarkan pelan tindakan yang telah diwujudkan.
“Dengan rakan dialog Kesatuan Eropah misalnya, kita belajar daripada mereka dan berkongsi pengalaman kita. Di samping itu, kita juga melibatkan kumpulan pemikir, misalnya menerusi seminar dan bengkel di Korea,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan perkongsian maklumat dalam kalangan negara anggota bagi memperkukuh rangka kerja keselamatan siber.
Dari segi kerjasama pula, beliau berkata ASEAN tidak hanya melibatkan kerjasama antara kerajaan tetapi juga dengan sektor swasta, seperti kolaborasi yang sedang berlangsung dengan Google berhubung literasi digital dan kecerdasan buatan (AI).
“Semakin banyak kita tahu dan semakin kita memperkasakan rakyat kita, semakin teguh kita dalam menangani cabaran siber. Kerjasama kita dengan sektor awam dan swasta seperti Google, adalah antara contoh inisiatif untuk memperkasakan masyarakat,” katanya.
Selain itu, Sarah berkata ASEAN juga sedang membangunkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital yang akan membolehkan perkumpulan tersebut berkongsi pengalamannya serta menyumbang kepada tindak balas global terhadap ekonomi dan transformasi digital.
MEMUPUK LITERASI DIGITAL
Mengulas persidangan keselamatan siber ASEAN yang pertama seumpamanya itu, Sarah berkata persidangan tersebut menyediakan peluang kepada mereka yang berkenaan untuk berbincang dari pelbagai perspektif dan memastikan hasilnya dapat disalurkan kepada penggubal dasar dalam usaha mewujudkan dunia siber yang lebih selamat.
“Orang awam, komuniti, wanita dan kanak-kanak, kesemuanya adalah golongan penting. Jika kita tidak dapat pastikan keselamatan mereka semasa berada di alam siber, maka akan timbul implikasi jangka panjang.
“Justeru, ketika kita mempromosikan literasi digital, ada keperluan untuk pastikan dunia digital itu selamat untuk semua orang,” katanya.
Tambah beliau lagi, persidangan itu juga mencari kaedah bagi memastikan golongan belia dilengkapi ilmu untuk mendepani cabaran yang dibawa oleh kemajuan teknologi maklumat.
MALAYSIA DI LANDASAN
Mengakui Malaysia berada di landasan dari segi keselamatan siber dan inisiatif literasi digital, Sarah berkata banyak yang telah dilakukan oleh Kementerian Komunikasi berhubung perkara itu.
“Terdapat banyak usaha yang sedang dilakukan oleh Malaysia, dan kerajaan bekerjasama rapat dengan pelbagai organisasi untuk memastikan sistem IT dalam kerajaan kekal selamat.
“Selain itu, banyak maklumat disampaikan kepada orang ramai, memberi amaran tentang penipuan dalam talian. Dari segi undang-undang pula, usaha sedang diambil untuk memastikan kita mempunyai perundangan yang tepat.
“Ini melibatkan banyak kerjasama merentasi kementerian serta perkongsian awam-swasta seperti kerjasama antara BlackBerry dan kerajaan Malaysia yang telah membuka Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber. Malaysia menunjukkan prestasi yang baik dan kita mesti kekalkan prestasi ini,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata literasi digital di Malaysia agak jauh ke depan seperti yang dapat dilihat dalam aktiviti “gaming” misalnya, dengan penglibatan ramai anak muda khususnya pelajar.
Bagaimanapun kata beliau, amat penting untuk membantu golongan berkenaan memahami bahawa dunia siber bersifat serampang dua mata, iaitu ada peluang dan juga ancaman.
Justeru, mereka harus dibimbing agar berhati-hati dalam mengawal perkongsian data peribadi di alam siber yang berpotensi disalah guna oleh penjenayah.
“Kita mahu wujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang rakyatnya berdaya tahan, bukan sahaja dari segi pembangunan negara tetapi juga di alam digital,” katanya.
ISU GLOBAL DAN KERJASAMA SERANTAU
Sementara itu, Duta Korea Selatan ke ASEAN di Jakarta Lee Jang Keun berkata ASEAN merupakan pengguna aktif ruang siber, menjadikan isu keselamatan semakin kritikal.
“Nilai transaksi digital dalam pasaran digital ASEAN sudah mencecah US$300 bilion dan dijangka meningkat kepada US$1 trilion menjelang 2030. Ringkasnya, ASEAN telah menjadi pusat tumpuan kegiatan dan transaksi digital,” katanya.
Fenomena itu kata beliau membuatkan ASEAN semakin disasarkan oleh penjenayah siber.
“Ini juga bermakna memastikan keselamatan ruang siber di kawasan pedalaman serta penggunaan secara aman menjadi semakin penting,” ujarnya.
Dalam pada itu, Lee berkata Korea berbesar hati untuk menyokong usaha ASEAN dalam memastikan keselamatan dunia siber dan menangani cabaran yang mendatang bersama-sama.
“ASEAN sudah ada strateginya sendiri dengan lima tonggak untuk mencapai matlamat strategik yang telah ditetapkan. Antaranya ialah tadbir urus dan pembangunan keupayaan. Korea bersedia untuk bekerjasama dengan ASEAN dalam kesemua tonggak ini.
“Bagi saya, pembangunan keupayaan amat penting. Sekalipun anda mempunyai struktur perundangan untuk menangani isu-isu ini (ancaman siber), adalah amat penting rakyat dilengkapi pengetahuan yang cukup untuk mendepani cabaran tersebut,” katanya.
Meskipun begitu, beliau berkata isu keselamatan siber adalah satu perkara yang tidak boleh ditangani secara in silo atau bersendirian.
Menyentuh cabaran keselamatan siber yang timbul akibat penerapan AI di negara-negara ASEAN, beliau berkata perkembangan teknologi bergerak dengan sangat pantas, memerlukan masyarakat bersedia menghadapi era AI yang semakin berkembang pesat.
"ASEAN memainkan peranan perintis dalam menetapkan prinsip dan platform untuk kerjasama. Korea juga terlibat secara aktif dalam setiap aspek AI, khususnya dalam penggunaan teknologi AI yang bertanggungjawab dan beretika," katanya, menambah situasi setiap negara ASEAN adalah berbeza.
Sementara itu, Lee berkata bagi memperkukuhkan lagi keupayaan pertahanan siber, mereka menganjurkan ASEAN-Cyber Shield Hacking Contest, pertandingan penggodaman tahunan yang dimulakan pada 2023 di bawah AKCF.
“Kita lawan penggodaman dengan penggodaman atau dikenali sebagai ‘white hacking’. Pertandingan ini disertai oleh belia dari kesemua 10 negara ASEAN dengan sebahagian bertindak sebagai penyerang dan sebahagian lagi pertahanan.
“Menerusi pertandingan ini, mereka dapat mempertajam kemahiran keselamatan siber dalam persekitaran yang terkawal,” katanya, menambah acara itu diadakan secara bergilir-gilir dalam kalangan negara ASEAN dengan yang terakhir berlangsung di Vietnam dan sebelumnya di Indonesia.