Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Pembelian semasa harga murah di kaunter wajaran tinggi perkhidmatan kewangan dan utiliti mendorong indeks utama lebih tinggi sebelum mengakhiri dagangan sesi pagi pada Khamis, dalam keadaan prestasi pasaran serantau yang kebanyakannya hambar.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 22.19 mata atau 1.49 peratus kepada 1,507.02 daripada 1,484.83 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 3.96 mata lebih tinggi kepada 1,488.79 sebelum bergerak antara 1,487.0 hingga 1,507.64 sepanjang sesi pagi.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 503 berbanding 160, manakala 593 kaunter tidak berubah, 1,134 kaunter tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 1.86 bilion saham bernilai RM1.44 bilion.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI semakin stabil, disokong oleh angka inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah berbanding jangkaan seperti dikeluarkan pada Rabu.
Beliau berkata bagaimanapun, data inflasi yang rendah itu dijangka tidak memberikan sokongan yang kukuh berikutan kebimbangan berterusan mengenai tarif perdagangan dan kemungkinan kemelesetan di AS.
“Walaupun pasaran Malaysia mungkin mengalami keadaan tenang buat sementara dan mengelak penjualan ketara sekali lagi hari ini namun, turun naik harga yang ketara dijangka kekal.
“Oleh itu, tahap turun naik ketara itu boleh mewujudkan peluang belian, dengan pembelian semasa harga murah muncul memandangkan FBM KLCI kini mencecah zon terlebih jual,” katanya kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi CIMB naik 26 sen kepada RM7.26, Tenaga Nasional melonjak 32 sen kepada RM13.32, dan Public Bank naik 9.0 sen kepada RM4.42.
Kaunter-kaunter itu menyumbang sejumlah 10.77 mata kepada kenaikan dalam indeks komposit.
Antara saham aktif, Saliran yang baru disenaraikan di Pasaran ACE susut empat sen kepada 23 sen selepas dibuka pada 27.5 sen, manakala Nationgate naik 14 sen kepada RM1.31, NexG menokok setengah sen kepada 26 sen, dan Sapura Energy naik setengah sen kepada 4.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 177.57 mata kepada 11,228.79, Indeks FBM 70 melonjak 293.61 mata kepada 15,957.94, Indeks FBM Emas Shariah naik 159.70 mata kepada 10,894.19, Indeks FBM ACE menokok 93.52 mata kepada 4,492.49, dan Indeks FBMT 100 menambah 172.90 mata kepada 11,009.17.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 17.83 mata kepada 7,311.87, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 287.04 mata kepada 18,487.82, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 2.64 mata kepada 151.59, dan Indeks Tenaga naik 13.90 mata kepada 698.22.
-- BERNAMA