AM

Pastikan Tiada Anak Muda Di KETENGAH Tercicir Peluang Disediakan Kerajaan - PM Anwar

13/03/2025 02:14 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) diharapkan dapat memastikan tiada anak-anak muda di wilayah itu yang tercicir dalam semua peluang  disediakan kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara tersebut, antara yang beliau tekankan semasa menerima kunjungan hormat Pengerusi KETENGAH Datuk Seri Dr Ahmad Said di pejabatnya di Putrajaya, hari ini. 

Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri berkata dalam pertemuan itu beliau dan Ahmad Said membincangkan mengenai hala tuju lembaga tersebut dalam memastikan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan KETENGAH.

“Saya memberi penekanan kepada akses perkhidmatan, kemudahan, inisiatif dan peluang pekerjaan terutamanya di luar bandar, pada zaman pendigitalan ini di mana arus perubahan ekonomi dan sosial amat pantas dan drastik selari dengan kepesatan di peringkat antarabangsa,” katanya.

KETENGAH adalah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang bertanggungjawab menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial di Daerah Dungun, Kemaman, dan Hulu Terengganu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2401931