MOSCOW, 13 Mac (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Kumpulan Volkswagen "terbuka" untuk mempertimbangkan kemungkinan melancarkan pengeluaran kenderaan pengangkutan tentera, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Oliver Blume, menurut Sputnik/RIA Novosti.
"Pada prinsipnya, kami terbuka kepada inisiatif sedemikian," kata Blume dalam temu bual dengan penyiar ZDF pada Rabu mengenai kemungkinan melancarkan pengeluaran kenderaan untuk keperluan tentera.
Beliau berkata rundingan "terperinci" dengan wakil kompleks industri ketenteraan pada masa ini tidak dijalankan.
Pada akhir Oktober, Ketua Majlis Pengeluaran Volkswagen Daniela Cavallo berkata pembuat kereta itu berhasrat untuk menutup sekurang-kurangnya tiga kilang di Jerman dan dengan itu mengurangkan puluhan ribu pekerjaan.
Pengumuman itu mencetuskan mogok oleh pekerja Volkswagen, yang akhirnya memaksa pembuat kereta itu mencapai persetujuan dengan kesatuan sekerja, berjanji untuk tidak memberhentikan pekerja atau menutup kilang.
Blume berkata terdapat keperluan untuk mempertimbangkan pelbagai langkah apabila membuat keputusan mengenai masa depan kilang di Dresden dan Osnabruck.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI