AM

Penghargaan MBR Cerminan Sumbangan Menyeluruh Bernama - CEO

12/07/2025 10:25 PM

PETALING JAYA, 11 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerima penghargaan Media dan Persatuan daripada Malaysia Book of Records (MBR), sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan menyeluruh agensi itu dalam landskap media negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata penghargaan bersempena ulang tahun ke-30 MBR itu membuktikan komitmen berterusan pengamal media dalam mengetengahkan kisah kejayaan rakyat Malaysia menerusi liputan berkualiti tinggi.

“Peranan kami sebagai agensi berita, stesen televisyen dan radio telah diberi pengiktirafan dan ini mencerminkan sumbangan besar Bernama dalam memperkasakan industri media negara.

“Kami memberi ruang liputan dan menghasilkan kandungan yang menyerlahkan pencapaian luar biasa penerima MBOR. Ini juga satu pengiktirafan kepada dedikasi petugas media kami,” katanya kepada Bernama selepas menerima penghargaan tersebut di sini malam ini.

Penghargaan tersebut disampaikan oleh Pengerusi MBR Datuk Seri Dr Micheal Tio.

Turut hadir, bekas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Pegawai Eksekutif MBR Christopher Wong dan Ketua TV Bernama Nor Hamzeela Md Hambali.

Mengulas lanjut, Nur-ul Afida memaklumkan Bernama dan MBR kini menjalinkan kerjasama strategik menerusi penerbitan siri 13 program khas yang memaparkan kisah kejayaan penerima dan pencipta rekod MBR.

“MBR percaya terhadap kemampuan Bernama menyampaikan mesej yang memberi inspirasi kepada masyarakat. Program khas ini akan memaparkan perjalanan luar biasa individu yang mencipta rekod dan akan mula disiarkan pada 26 Ogos ini di saluran Bernama TV,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama itu mampu menjadi pencapaian baharu bagi Bernama dalam usaha menyampaikan kisah inspirasi kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Nur-ul Afida berkata industri turut mengiktiraf peranan Bernama dalam memperluaskan capaian jenama dan produk menerusi pelbagai platform, termasuk perkhidmatan baharu agensi itu, iaitu studio bergerak dikenali sebagai Motorhome.

“Motorhome Bernama adalah platform media bergerak yang membolehkan pelbagai pihak memperkenalkan produk dan jenama masing-masing, khususnya dalam sektor berkaitan,’ katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2444429