SUKAN

WUG 2025: Muhammad Azeem Sasar Rekod Baharu, Buru Kedudukan Podium

12/07/2025 09:20 AM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi meletakkan harapan tinggi untuk mengharumkan nama Malaysia pada penampilan sulungnya di temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 di Rhine-Ruhr, Jerman dari 16 hingga 27 Julai ini.

Muhammad Azeem berkata temasya itu bakal menjadi cabaran besar berikutan penyertaan atlet bertaraf dunia, namun beliau bertekad memberikan aksi terbaik.

Atlet berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu menyasarkan untuk memperbaharui rekod musim terbaiknya dalam acara 100 meter (m) iaitu 10.20 saat, sekali gus mencabar kedudukan podium.

“Ini adalah kejohanan bertaraf dunia dan saya jangkakan saingan akan sangat sengit. Puripol Boonson dari Thailand dan ramai lagi atlet yang pernah saya lawan dalam kejohanan NCAA (Persatuan Olahraga Berkolej Kebangsaan) di AS turut bertanding.

“Jadi mentaliti saya ke WUG adalah untuk memberikan segalanya. Sasaran saya ialah untuk atasi catatan musim terbaik, layak ke final dan akhirnya meraih pingat buat negara,” kata penuntut Universiti Auburn berusia 21 tahun itu.

Pemegang rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09 saat itu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kontinjen WUG 2025 di Putrajaya, malam tadi.

Selain acara 100m, atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu turut dijadual menyertai acara 200m dan 4x100m bersama kuartet negara terdiri daripada Aliff Iman Mohd Fahimi, Mohamad Raimi Mustaffa Kamal, Mohammad Thaqif Mohammad Hisham dan Pengirin Aidil Auf Hajam.

“Dari segi persiapan, saya berada dalam keadaan sangat baik. Saya tidak meletakkan sebarang jangkaan, sebaliknya hanya mahu fokus kepada perlumbaan dan berikan yang terbaik,” kata pemenang pingat gangsa 100m Sukan Asia Hangzhou 2022 itu yang kini bebas daripada sebarang kecederaan.

Mengulas lanjut, Muhammad Azeem menyifatkan pemilihannya sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara ke WUG 2025 sebagai satu penghormatan besar dan kenangan manis dalam kariernya.

“Ini adalah satu penghormatan besar dan pengalaman pertama saya membawa Jalur Gemilang ke kejohanan bertaraf dunia. Ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus berusaha melakukan yang terbaik,” katanya.

Malaysia yang menyasarkan tujuh pingat tanpa mengira warna pada edisi kali ini akan mengambil bahagian dalam enam daripada 19 jenis sukan yang dipertandingkan, melibatkan penyertaan 64 atlet, terdiri daripada 39 lelaki dan 25 wanita.

Enam sukan yang disertai kontinjen negara ialah gimnastik artistik, badminton, memanah, olahraga, renang dan taekwondo.

Pada edisi 2023 di Chengdu, China,  kontinjen negara mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaannya di WUG dengan kutipan satu pingat emas, satu perak dan lima gangsa.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2444444