GAYA HIDUP

Kidzooona Safari Asah Keyakinan Kanak-Kanak Melalui Aktiviti Interaktif

12/07/2025 10:57 AM

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

NILAI, 12 Julai (Bernama) -- Setiap kanak-kanak mempunyai perwatakan tersendiri, namun dengan ruang, dorongan dan peluang untuk berinteraksi serta bermain sejak awal usia, potensi mereka, terutamanya dalam cara berfikir, bertindak dan berkomunikasi, dapat dikembangkan.

Dulu, kegiatan sedemikian dilakukan di luar rumah seperti padang permainan, kini kanak-kanak ada pilihan bermain dan berinteraksi di taman permainan tertutup yang direka untuk merangsang pergerakan, imaginasi dan keberanian, sekali gus menjadi medan penerokaan menyeronokkan.

Aspek tersebut antara yang diterapkan di Kidzooona Safari di AEON Mall Nilai di sini, bagi memenuhi keperluan kanak-kanak aktif, yang bukan hanya menjadi ruangan bermain tetapi turut mencabar keberanian dan kebebasan mereka.

Pengurus Besar Operasi AEON Fantasy Malaysia Muhammad Hakmi Yahya berkata taman permainan tertutup berkonsepkan filem animasi Madagascar yang direka khas untuk kanak-kanak berusia dua tahun ke atas itu menampilkan 16 zon interaktif termasuk ‘vertical slider’ dan laluan Tarzan.

"Memang kita khususkan untuk kanak-kanak yang memerlukan (permainan) daya tenaga yang tinggi sebab kita faham kanak-kanak Malaysia sangat lasak. Jadi konsep kita memang sepadan dengan pasaran Malaysia,” katanya ketika ditemui Bernama pada majlis perasmian Kidzooona Safari, semalam.

pic-2

Guru prasekolah Fazillah Mohd Salleh berkata beliau teruja melihat perubahan ketara dalam tingkah laku murid-muridnya ketika berada di Kidzooona Safari, terutama mereka yang biasanya pasif di dalam kelas.

“Saya lihat murid-murid saya yang kurang aktif di sekolah bila sampai sini terus bersemangat. Bukan itu sahaja, kemahiran sosial mereka pun bertambah baik sebab dapat berinteraksi dengan kanak-kanak lain yang datang bermain di sini, secara tidak langsung mengembangkan sosial, emosi dan kognitifnya,” katanya.

Fazillah berkata taman permainan tertutup itu dapat mengasah tahap keyakinan kanak-kanak kerana banyak melibatkan aktiviti sensori seperti segmen bersembang dalam sesi ‘Wau Chat’.

“Mungkin ada ibu bapa yang jarang membawa anak mereka keluar dan hanya duduk di rumah membuatkan mereka tidak biasa bersosial dengan kawan-kawan. Jadi, bila di sini mereka gembira, rasa yakin nak melompat sebab tidak ada orang marah,” katanya yang turut menyarankan ibu bapa mendedahkan kanak-kanak kepada aktiviti sedemikian.

Pelakon, Farah Nadia Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Nad Zainal, berkata taman interaktif seperti itu menjadi pilihan utamanya kerana menawarkan persekitaran lebih selamat dan selesa buat anak-anak kecil.

pic-3

Selain bebas daripada gangguan cuaca, katanya aspek kebersihan dan pemantauan kakitangan turut menjadi faktor utama beliau membawa anak-anak bermain di pusat rekreasi seperti itu.

“Biasanya saya lebih suka tempat ‘indoor’ sebab tidak perlu risau panas atau hujan. Anak-anak pun bebas bermain, ada staf pantau dan kita sebagai ibu bapa pun boleh duduk rehat atau tengok dari jauh,” kata ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Menurut selebriti berusia 35 tahun itu, medium tersebut turut menjadi ruang terbaik untuk anak-anak bergaul dan membina keyakinan diri secara sihat, tanpa bergantung pada peranti pintar.

“Saya memang hadkan penggunaan peranti pintar di rumah. Jadi, tempat seperti ini bagi mereka peluang bersosial dengan cara lebih menyeronokkan dan aktif,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2444463