GAYA HIDUP

Tumpik Sarawak, Lempeng Tradisi Melanau Yang Memikat Selera

12/07/2025 11:08 AM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA  LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Di sebalik kerangupan luaran dan kekenyalan isinya, tumpik, lempeng tradisional berasaskan sagu dan kelapa dari Sarawak ini amat jarang diketengahkan dalam dunia kulinari arus perdana.

Menurut cef profesional kelahiran Sarawak  Laura Bara Sim hidangan etnik Malanau ini mungkin tampak ringkas dari segi bahan dan rupa namun, mempunyai nilai budaya dan sejarah yang cukup kuat.

Beliau yang aktif mempromosikan warisan kulinari Sarawak menjelaskan tumpik merupakan sejenis lempeng yang diperbuat daripada tepung sagu dan kelapa parut serta ditambah sedikit garam bagi menaikkan rasa.

“Ia mempunyai rasa lemak kelapa yang sedikit masin, dengan tekstur kenyal di bahagian dalam dan rangup di luar. Ringkas tapi sedap,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menjayakan demonstrasi masakan bersempena dengan sidang media Serumpun Sarawak baru-baru ini. 

Cef berdarah campuran Iban dan Bidayuh ini turut menjelaskan bahawa antara keunikan tumpik ialah kaedah penyediaannya yang langsung tidak menggunakan minyak sebaliknya hanya dimasak di atas kuali tidak melekat (non-stick).

pic-2

“Campuran sagu dan kelapa hanya perlu ditekan sedikit atas kuali dan dibiarkan masak secara perlahan. Bila bahagian bawahnya sudah garing, itu tandanya tumpik sudah sedia untuk dihidang,” katanya.

Makanan yang pernah menjadi makanan asas terutama zaman penjajahan British di Sarawak dahulu tidak hanya sekadar makanan ringan, malah boleh dinikmati dengan tambahan inti seperti udang, ikan dan gula apong.

"Pokok sagu banyak di kawasan mereka, jadi mereka hasilkan tepung daripada batang pokok sagu dan jadikan pelbagai makanan. 

"Kalau di Semenanjung, makanan Sarawak yang biasa kita dengar mungkin cuma laksa Sarawak atau ayam pansuh. Tapi tumpik masih belum dikenali ramai mungkin sebab ia jarang dijual secara komersial," katanya.

Beliau berkata tumpik boleh menjadi antara menu ikonik Sarawak sama seperti kek lapis dan laksa Sarawak yang dikenali di seluruh negara sekiranya diberikan ruang promosi lebih meluas seperti di festival makanan,  kafe atau hotel-hotel.

pic-3

“Selain rasanya yang enak, kelebihan tumpik ialah  bahan asasnya yang mudah didapati serta proses penyediaan yang ringkas dan ini menjadikannya pilihan sesuai untuk sarapan, minum petang atau snek ringkas di rumah,” jelasnya.

Beliau berkata sebagai antara lebih 160 hidangan dari Bumi Kenyalang yang bakal diperkenal pada pameran budaya dan gastronomi  di Osaka, Jepun dari 5 hingga 8 Ogos ini, tumpik mencerminkan identiti unik masyarakat Melanau dan adaptasi mereka terhadap sumber alam sekitar, khususnya pokok sagu yang tumbuh subur di kawasan pesisir.

Menurutnya,  inisiatif membawa makanan ini ke pentas antarabangsa bukan sahaja memperkenalkan budaya gastronomi Borneo kepada dunia, tetapi juga membuka ruang kepada pengusaha tempatan untuk meneroka potensi komersial warisan etnik yang masih belum diterokai sepenuhnya.

-- BERNAMA

Tumpik, Sarawak, makanan, tradisi, santai

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2444479