KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Berkuat kuasa serta merta, semua eksport, pemindahan dan transit cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) kini tertakluk kepada Permit Perdagangan Strategik, inisiatif untuk merapatkan jurang pengawalseliaan, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini.
MITI menjelaskan langkah baharu itu adalah berdasarkan Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010), yang dikenali sebagai peruntukan “Catch-All Control”.
Peruntukan itu menetapkan individu atau syarikat hendaklah memberitahu pihak berkuasa sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal mengenai niatnya untuk mengeksport, memindahkan dan melakukan transit terhadap sebarang barangan yang tidak tersenarai dalam Senarai Barangan Strategik (SIL), sekiranya terdapat pengetahuan atau syak yang munasabah bahawa barangan tersebut boleh disalah guna atau terlibat dalam aktiviti yang disekat.
“Inisiatif ini bertujuan merapatkan jurang pengawalseliaan sementara Malaysia menjalankan semakan selanjutnya mengenai penyenaraian cip AI berprestasi tinggi yang berasal dari AS dalam SIL mengikut STA 2010,” tambah kementerian itu dalam kenyataan.
MITI menegaskan Malaysia mengambil pendirian tegas terhadap sebarang cubaan memintas kawalan eksport atau terlibat dalam perdagangan haram.
“Mana-mana individu atau syarikat yang didapati melanggar STA 2010 atau undang-undang yang berkaitan akan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.
“Walaupun Malaysia menyokong pelaburan dan perdagangan yang sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa serta komitmen yang dipersetujui secara multilateral, namun semua entiti yang beroperasi di negara ini perlu mematuhi kewajipan antarabangsa yang berkenaan bagi mengelakkan sekatan sekunder terhadap perniagaan mereka,” tambah MITI.
MITI menegaskan semula komitmen untuk mengekalkan persekitaran perdagangan yang selamat, terjamin, telus dan berlandaskan peraturan, serta menegaskan bahawa pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang penyalahgunaan bidang kuasa Malaysia bagi tujuan aktiviti perdagangan haram.
-- BERNAMA