AM

KPWKM Komited Tingkat Kesedaran Ujian Saringan HPV Dalam Kalangan Orang Asli

14/07/2025 04:42 PM

TANJONG MALIM, 14 Julai (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita masyarakat Orang Asli mengenai kepentingan menjalani ujian saringan papilomavirus manusia (HPV) bagi mencegah risiko kanser serviks.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata usaha itu bagi memastikan golongan berisiko tidak terpinggir daripada menerima rawatan awal dan maklumat kesihatan yang tepat.

Noraini berkata KPWKM bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah melaksanakan gerak kerja, namun masih terdapat keperluan besar untuk menjelajah ke kawasan pedalaman yang sukar diakses.

“Pendedahan seperti itu amat penting, khususnya berkaitan kesihatan wanita dan pencegahan kanser serviks. Ramai yang masih belum tahu mengenai saringan HPV, apatah lagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan komuniti Orang Asli.

“Kita percaya melalui pendekatan turun padang, lebih ramai wanita dapat didekati dan dibimbing menjalani ujian saringan secara percuma,” katanya ketika ditemui pada Program CSR Teknikal dan Komuniti Pos Tenau: Sentuhan Ilmu dan Khidmat Pakar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tenau dekat Ulu Slim di sini hari ini. 

Program anjuran Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) itu berlangsung selama tiga hari bermula 12 Julai lepas turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan beberapa agensi serta syarikat swasta. 

Noraini berkata selain memberi kesedaran tentang bahaya HPV, program berkenaan juga berperanan merapatkan jurang penjagaan kesihatan termasuk agenda pendidikan antara bandar dan luar bandar, selaras dengan agenda Kerajaan MADANI.  

"Selain masalah kesedaran kesihatan KPWKM turut menekankan tentang pendidikan kerana banyak responden yang kita temui menyatakan selepas wanita Orang Asli tamat persekolahan mereka akan berkahwin, namun mereka tidak sedar terdapat pelajaran sepanjang hayat di bawah Kolej Komuniti. 

"Begitu juga dengan menerusi inisiatif Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) amat penting dalam menyampaikan perkhidmatan sokongan sosial kepada masyarakat setempat kerana ia boleh bergerak ke mana-mana bagi membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Mengulas mengenai penganjuran program, pihaknya merakamkan penghargaan atas inisiatif PSAS dalam memperkasakan pendidikan akar umbi dan kesejahteraan komuniti.

"Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan termasuk perkongsian ilmu teknologi kejuruteraan elektrik dan mekanikal, penyelenggaraan fasiliti asas, aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pemeriksaan kesihatan serta program literasi keluarga dan asas solekan.

"Program itu bukan sahaja memberi pendedahan praktikal kepada pelajar dalam mengelola aktiviti bersama komuniti, malah menjadi platform kepada pensyarah untuk menyumbang kepakaran teknikal masing-masing kepada masyarakat luar bandar," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2445159