PETALING JAYA, 14 Julai (Bernama) -- Jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Zulfadhli Zulkifli mendedikasikan kemenangan sulung di pentas Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024 hari ini, kepada insan paling berjasa untuknya - arwah ayahnya.
Zulfadhli berkata bapanya Zulkifli Din yang meninggal dunia pada usia 63 tahun akibat sakit jantung pada 2021 menghadiahkan kamera pertama model D100 Nikon dan sering membawanya mengambil gambar sejak berusia 10 tahun.
“Ayah seorang guru, tapi berminat dalam bidang fotografi. Saya sangat bersyukur sejak kecil sudah didedahkan (tentang fotografi) namun hanya dapat memenangi anugerah setelah ayah meninggal dunia.
“Namun, saya bersyukur kerana ini adalah percubaan pertama (menyertai pertandingan anjuran SAM) dan rezeki berpihak kepada saya. Ini adalah kejayaan untuk arwah ayah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Zulfadhli, 37, juga berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantunya termasuk ketua jabatan kerana memberi peluang selain rakan sekerja dan kawan yang sering memberi tunjuk ajar.
Selain itu, Zulfadhli menghargai pengorbanan isteri Nur Fatin Mohd Satar, 35, kerana memahami tugasnya yang tidak menentu masa kerja dan akan menguruskan empat anak berusia antara tujuh tahun hingga tiga bulan, apabila perlu bertugas di luar daerah.
Beliau memenangi kategori Fotografi Sukan Terbaik menerusi gambar memaparkan keindahan pergerakan penerjun Wilayah Persekutuan Ong Jia Le dalam acara 1 meter papan anjal wanita di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Kuching semasa Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
Turut berada dalam kelompok lima terbaik anugerah berkenaan ialah dua lagi jurugambar Bernama iaitu Mohd Faizol Ab Aziz dan Muhd Na’im Mohd Zamri.
Sementara itu, wartawan sukan Bernama Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif tersenarai dalam kelompok lima terbaik kategori Ulasan Berita Terbaik Media Cetak.
-- BERNAMA