AM

Nilai Perpaduan Tun Sambanthan Terus Jadi Inspirasi Dasar Negara - Aaron

15/07/2025 01:44 PM

PETALING JAYA, 15 Julai (Bernama) -- Nilai dan semangat perjuangan mendiang Tun V.T. Sambanthan dalam memupuk perpaduan kaum, terus menjadi inspirasi kepada pembentukan dasar perpaduan nasional hari ini, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata pendekatan inklusif yang dibawa oleh mendiang, membuktikan bahawa kepelbagaian etnik bukan halangan, sebaliknya kekuatan yang perlu diraikan dan diperkukuh.

“Tun Sambanthan melihat masa depan Malaysia bukan dalam warna, kaum atau bahasa, tetapi dalam kebersamaan membina negara. Beliau pemimpin yang melangkaui batasan perkauman demi cita-cita nasional,” katanya ketika merasmikan Program Mengenang Jasa Tun V.T. Sambanthan: Menteri Perpaduan Pertama di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy, Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman dan ahli keluarga mendiang Sambanthan.

Aaron berkata sebagai Menteri Perpaduan pertama negara, mendiang memainkan peranan penting dalam membuka jalan kepada pembentukan dasar-dasar awal yang menjunjung nilai perpaduan sebagai asas kehidupan rakyat Malaysia.

“Beliau percaya bahawa perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi cara hidup yang harus dipupuk sejak kecil, diperkukuh dalam masyarakat dan dijelmakan dalam dasar negara,” katanya.

Beliau berkata meskipun ketika itu tiada struktur rasmi seperti Majlis Penasihat Perpaduan Negara, inisiatif dialog antara kaum yang diterajui Sambanthan, menjadi asas penting kepada pendekatan kerajaan masa kini dalam memperkukuh keharmonian rakyat.

Aaron turut menyeru generasi muda agar mencontohi semangat kepimpinan mendiang yang berteraskan khidmat dan keikhlasan.

“Kepada anak-anak muda Malaysia, legasi Tun Sambanthan memberi kita beberapa pengajaran penting. Pertama, bahawa kepimpinan bukan soal pangkat atau kuasa, tetapi soal khidmat dan keikhlasan. Kedua, bahawa dalam dunia yang semakin kompleks, kita mesti berani mempertahankan nilai-nilai kebersamaan dan keadilan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar Arkib Negara Malaysia menjadikan pameran tokoh-tokoh negarawan seperti Sambanthan sebagai input wajib dalam program Arkib@Sekolah supaya generasi muda memahami akar sejarah negara dan menghargai jasa tokoh terdahulu.

Majlis turut menyaksikan pelancaran Buku Tun V.T. Sambanthan Speaks terbitan Arkib Negara Malaysia yang menghimpunkan koleksi teks ucapan mendiang semasa berkhidmat sebagai Menteri Perpaduan dan menteri dalam Kabinet Malaya/Malaysia.

Sebagai usaha memperingati legasi beliau, satu Pertandingan Pidato Mengenang Sejarah dan Jasa Tun V.T. Sambanthan akan dianjurkan oleh National Land Finance Co-operative Society (NLFCS) dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia pada November ini.

“Tun Sambanthan telah membuktikan bahawa Malaysia yang bersatu bukan angan-angan, tetapi satu cita-cita yang boleh dicapai apabila kita meletakkan kepercayaan kepada satu sama lain,” katanya.

 Sambanthan merupakan antara tokoh perintis dalam perjuangan kemerdekaan dan perpaduan Malaysia. Beliau ialah Presiden MIC kelima dan menjadi sebahagian daripada delegasi yang merundingkan kemerdekaan bersama Tunku Abdul Rahman dan Tun Tan Cheng Lock.

Sebagai Menteri Perpaduan pertama Malaysia, beliau dikenang atas usaha memupuk dialog antara kaum, memperjuangkan pendidikan masyarakat India, serta menubuhkan Koperasi NLFCS untuk membantu pekerja ladang memiliki tanah dan meningkatkan taraf hidup mereka.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2445398