KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Penjawat awam perlu menegakkan integriti, empati dan rasa amanah yang teguh (konsep amanah yang memerlukan tanggungjawab dan akauntabiliti) dalam memacu reformasi negara, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata peranan perkhidmatan awam tidak terhad kepada melaksanakan dasar tetapi juga harus mencerminkan kepimpinan yang berteraskan nilai yang ikhlas dan berkesan dalam berkhidmat kepada rakyat.
"Ramai yang bertanya apa yang membuatkan saya tabah dalam menghadapi tekanan dan tanggungjawab. Jawapan saya sentiasa sama, ia adalah rasa kasih sayang. Rasa prihatin yang mendalam. Rasa tanggungjawab...komitmen ikhlas untuk menjalankan sebaiknya amanah yang kami pikul," katanya.
Shamsul Azri berkata demikian pada pelancaran Persidangan Penyelidikan Tindakan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS-ACT) 2025 anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.
Beliau berkata reformasi sektor awam yang sedang dijalankan termasuk di bawah inisiatif Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) memerlukan keberanian untuk mencabar norma lapuk, merungkai silo atau budaya bekerja dalam komuniti sendiri dan membina semula kepercayaan orang ramai.
"Transformasi bukanlah sesuatu yang bermula dengan sistem. Ia bermula dengan manusia, dalam cara kita menghadapi andaian kita, menerima pembelajaran dan memimpin dengan kebenaran," katanya.
Berkongsi perjalanan peribadinya, Shamsul Azri mendedahkan bahawa beliau telah memutuskan untuk kembali menuntut ilmu dengan mendaftar dalam ijazah kedoktoran dalam pentadbiran perniagaan di AHIBS, didorong oleh kepercayaan bahawa kepimpinan adalah proses pembelajaran yang berterusan.
"Sebab itu saya kembali belajar. Untuk ingat semula apa yang penting. Untuk mengingati bahawa setiap dasar menyentuh kehidupan, setiap pembaharuan memberi kesan kepada jiwa dan setiap gelaran yang kita sandang tidak bermakna jika kita melupakan orang kita berikan perkhidmatan.
"Kepimpinan bukan tentang mempunyai semua jawapan. Ia ditakrifkan oleh keberanian untuk bertanya soalan yang bermakna dan kerendahan hati untuk terus maju," katanya sambil menambah bahawa universiti seperti AHIBS memainkan peranan penting dalam memupuk pemimpin masa depan menerusi penyelidikan, refleksi dan penglibatan masyarakat.
Beliau turut menekankan kepentingan kepimpinan beretika dalam era yang dibentuk oleh kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital yang pantas.
"Transformasi tanpa etika ialah automasi semata-mata. Kekuatan sebenar kita bukan sahaja terletak pada keupayaan kita untuk berinovasi tetapi juga pada keupayaan kita untuk kekal sebagai manusia.
"Bagi para penyelidik dan pemikir dalam kalangan kita hari ini, era ini menuntut tanggungjawab yang mendalam. Anda bukan sahaja pemerhati perubahan. Anda adalah pencipta perubahan. Pemerhatian dan dedikasi anda adalah benih dari mana masa depan yang lebih baik, lebih bijak dan lebih kukuh boleh berkembang," katanya.
-- BERNAMA