AM

Pengumuman Mengenai Pelantikan Kehakiman Dijangka Dibuat Esok - PM Anwar

15/07/2025 10:13 PM

PUTRAJAYA, 15 Julai (Bernama) -- Satu pengumuman dijangka dibuat esok berhubung pelantikan kehakiman, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.  

Sambil mengakui terdapat kelewatan dan kebimbangan mengenai beberapa pelantikan, beliau bagaimanapun menegaskan bahawa semua keputusan dibuat dengan adil dan telus.

"Pagi tadi saya mengadakan (perbincangan) panjang lebar dengan Majlis Raja-Raja. Saya rasa biarlah mereka yang tentukan, dan mudah-mudahan esok ada pengumuman yang jelas yang akan melenyapkan persepsi negatif itu," katanya dalam ucapan pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Integriti dan Tadbir Urus Malaysia di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan bahawa Kerajaan MADANI menghormati kebebasan kehakiman dan tidak campur tangan dalam mana-mana hakim atau kes mahkamah sepanjang beliau memegang jawatan Perdana Menteri. 

"...dan saya harap apabila pengumuman itu dibuat, ia membuktikan bahawa kerajaan ini komited kepada reformasi (institusi) termasuk prinsip kebebasan kehakiman," katanya.

Anwar menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengemukakan mana-mana calon yang diragui (kewibawaannya) untuk jawatan tertinggi kehakiman kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atau kepada Majlis Raja-Raja.

"Azalina (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said) tahu perkara itu, Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) juga tahu bahawa tidak pernah ada kes nama yang dikemukakan dipersoalkan atau kelihatan diragui. Nama-nama sedemikian tidak pernah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja.

"Saya beri jaminan bahawa selama dua tahun setengah saya memegang jawatan (sebagai Perdana Menteri), saya tidak pernah berbincang dengan mana-mana hakim (walaupun) mengenai satu kes, tidak dengan Ketua Hakim, tidak dengan mana-mana hakim. Saya berpegang pada prinsip kebebasan kehakiman," katanya.

Anwar mengakui terdapat kebimbangan mengenai isu berkenaan dan persepsi bahawa beberapa pelantikan utama kehakiman mungkin terjejas.

"Saya boleh beri jaminan bahawa perkara itu tidak berlaku. Saya pasti rakan-rakan saya dalam profesion perundangan menghormati hakikat bahawa kita harus berpandukan undang-undang dan fakta, bukan persepsi," katanya.

"Jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan kosong selepas persaraan mandatori Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, yang masing-masing berusia 66 tahun pada 2 dan 3 Julai lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2445608