JASIN, 17 Okt (Bernama) -- Dengan taring terdedah, mata tajam dan gerakan penuh tumpuan setiap aksi anjing perang Cawangan Serigala Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) itu ‘menangkap’ mata pengunjung di Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka, hari ini.
Demonstrasi ketenteraan oleh satu-satunya pasukan unit anjing perang dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tersebut menampilkan kecekapan luar biasa haiwan terlatih tersebut dalam mengejar, menangkap dan mengesan sasaran dengan kepantasan tinggi.
Seekor demi seekor menunjukkan aksi tangkas daripada kawalan kepatuhan, melepasi halangan hingga kepada simulasi pengesanan bahan letupan dan penangkapan musuh.
Penolong Ketua Cawangan Serigala PULADA Kapten Duin Anak Tat, 35, berkata demonstrasi itu memberi pendedahan kepada orang awam mengenai peranan dan latihan intensif yang dijalani oleh Cawangan Serigala dalam menyokong operasi ketenteraan.
“Melalui demonstrasi ini kita hendak tunjukkan kepada orang awam keupayaan anjing terlatih ini seperti menempuh halangan, gelung, bukit-bukau dan hutan…itu adalah halangan sebenar semasa operasi yang kita praktikkan,” katanya kepada Bernama.
Duin berkata terdapat dua jenis anjing yang ditampilkan pada demonstrasi tersebut, iaitu anjing pencari dan anjing pengawal yang masing-masing berperanan mencari bahan letupan serta menangkap sasaran.
Sebanyak lapan ekor anjing dibawa ke PMR 2025 Melaka itu yang berlangsung di Politeknik Merlimau di sini, namun hanya enam dipertontonkan dalam demonstrasi yang diadakan sepanjang tiga hari program berkenaan.
Antara baka anjing yang ditampilkan ialah “German Shepherd”, “Rottweiler,” “Bordeaux Collie” dan “Labrador” dengan setiap satunya dipilih berdasarkan fungsi operasi tertentu.
Mengulas lanjut, Duin yang juga ketua pasukan bagi demonstrasi anjing perang di PMR 2025 Melaka, berkata kesemua anjing dibawa masuk dari United Kingdom ketika berusia bawah dua tahun dan dilatih secara intensif selama enam bulan.
Walaupun latihan intensif mengambil masa enam bulan, beliau berkata anjing itu hanya dianggap siap untuk dikerah selepas menjalani latihan lanjutan di detasemen.
“Untuk persediaan setiap demonstrasi pula mengambil masa dua hingga tiga minggu, termasuk latihan logistik dan kawalan. Ini supaya tidak ada kegagalan komunikasi dan pertunjukan lebih menarik,” katanya.
Sehubungan itu, Duin berharap demonstrasi kali ini dapat menarik minat masyarakat, terutama generasi muda, untuk mengenali lebih dekat dunia ketenteraan dan keistimewaan pasukan seperti Cawangan Serigala PULADA.
-- BERNAMA