JENAYAH & MAHKAMAH

Kerjasama Strategik Polis, Media Diperkukuh Menerusi Perlawanan Bola Sepak Persahabatan

18/10/2025 12:35 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Hubungan strategik antara pasukan keselamatan dan pengamal media terus diperkukuh, kali ini menerusi penganjuran perlawanan bola sepak persahabatan.

Perlawanan antara Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) itu diadakan di Arena Sukan Azman Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata hubungan baik antara pihak polis dan wartawan penting bagi memastikan liputan berita jenayah disampaikan dengan tepat dan bertanggungjawab.

“Kerjasama strategik ini bukan hanya tertumpu kepada aspek tugasan harian tetapi diperkasa melalui aktiviti santai seperti sukan bagi mengukuhkan kepercayaan dan kefahaman bersama,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan yang berkesudahan IPD Kajang menang 5-3.

Beliau berkata selain memupuk semangat kesukanan, aktiviti seumpama itu turut menjadi platform memperkenalkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga IPD Kajang.

Sementara itu, Presiden CiJA Safeek Affendy Razali berkata pasukan itu disertai 20 petugas media daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Sinar Harian, Berita Harian, Kosmo!, Astro Awani, Harian Metro, Utusan Malaysia dan The Star.

“Selain sebagai aktiviti riadah, ia juga menjadi simbol komitmen kami dalam mewujudkan hubungan kerja yang lebih erat dengan pihak berkuasa, seiring semangat Hari Sukan Negara yang disambut baru-baru ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480323