AM

Kukuhkan Sinergi Pelbagai Pihak Untuk Bendung Buli Di Sekolah - ADUN Bawang Assan

19/10/2025 04:58 PM

SIBU, 19 Okt (Bernama) -- Sinergi antara ibu bapa, guru, pelajar dan pihak berkuasa pendidikan perlu diperkukuh bagi membendung gejala buli di sekolah yang kini dianggap krisis nasional dan mengancam masa depan generasi muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan Datuk Seri Wong Soon Koh berkata semua pihak perlu berganding bahu membentuk persekitaran pembelajaran yang bebas daripada penindasan dan keganasan, termasuk menjadikan sekolah sebagai ‘zon antibuli’.

“Kes buli yang berlaku hari ini bukan sahaja meningkat dari segi bilangan, malah semakin serius dari sudut impak dan bentuk termasuk keganasan fizikal, serangan seksual, buli siber serta insiden tragis yang menyebabkan kematian,” katanya.

Berucap pada majlis perasmian Program Bersama Menentang Buli 2025 di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini hari ini, beliau berkata dasar tegas, program pendidikan tambah nilai dan sokongan psikososial yang efektif perlu digerakkan secara kolektif bagi melindungi mangsa serta membimbing pelaku supaya berubah ke arah positif.

Program anjuran bersama Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Pertubuhan Pemerkasaan Wanita Bersatu Sibu (PPWBS) dan UTS itu disertai pelajar daripada enam sekolah menengah serta tiga institusi pengajian tinggi di bandar ini yang menyertai pertandingan melukis poster bertemakan “Bersatu Menentang Buli”.

Wong berkata kebimbangan terhadap budaya buli semakin memuncak apabila ia turut berleluasa di alam maya susulan peningkatan penggunaan media sosial tanpa kawalan.

“Penghinaan, pengasingan sosial dan buli siber mungkin tidak meninggalkan luka fizikal, namun kesannya terhadap kesihatan mental mangsa amat mendalam dan boleh berpanjangan hingga ke dewasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480641