SHAH ALAM, 22 Okt (Bernama) -- Kerajaan disaran melakukan reformasi pendidikan dengan menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan dan memperkasakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi membantu menangani isu melibatkan sektor itu secara holistik.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata Suruhanjaya Pendidikan, perlu ditubuhkan bagi memastikan setiap dasar pendidikan dirancang dan dilaksanakan dalam jangka masa ditetapkan, tanpa dipengaruhi pertukaran pentadbiran atau kepentingan politik.
Beliau berkata suruhanjaya itu akan bertindak sebagai badan yang mengawasi perjalanan dasar pendidikan negara, agar tidak berubah “mengikut musim” yang memberi kesan serta merugikan generasi pelajar akan datang.
“Saya setuju tentang penubuhan Suruhanjaya Pendidikan, sebab setiap kali bertukar kepimpinan atau menteri, guru-guru di bawah sana sentiasa tertanya-tanya, apa pula dasar, pendekatan atau program yang akan diperkenalkan kerana tahu yang lama akan habis.
“Jadi saya sangat menyokong bahawa satu suruhanjaya boleh ditubuhkan, bagi memastikan bahawa setiap menteri, ketua pengarah atau pengarah pendidikan negeri apabila mereka diberikan amanah untuk menjalankan tanggungjawab itu, mereka melaksanakan berdasarkan kepentingan negara, bukan kerana kepentingan politik atau kepentingan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Forum Reformasi Pendidikan dan Cabaran Masa Kini: Punya Arah atau Hilang Arah?, yang berlangsung di Auditorium Pustaka Raja Tun Uda, di sini hari ini.
Forum yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari itu, turut disertai Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Datuk Prof Dr Md Amin Md Taff, Ahli Dewan Negara Dr Jufitri Joha dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid.
Aminuddin berkata warga pendidik sedar setiap kepimpinan tinggi bertukar, individu baharu yang mengisi jawatan itu hendak mengaitkan sesuatu perkara atau dasar baharu yang dibuat dengan diri mereka, supaya dikenang selama-lamanya.
Beliau berkata perkara yang seolah-olah menjadi amalan tradisi itu perlu diubah, kerana kesan ia memberi kesan tersendiri kepada warga pendidikan, terutamanya guru.
Mengakui bahawa menteri atau kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan sentiasa memberi ruang, mendengar dan menerima pandangan diberikan NUTP, Aminuddin berkata perkara yang menimbulkan kegelisahan dalam kalangan warga pendidik itu masih berterusan, walaupun kepimpinan tertinggi bersilih ganti.
“Satu perkara yang kita kurang selesa dan belum selesai ialah kita akan berhadapan dengan perubahan dasar setiap kali berlakunya pertukaran kepimpinan di kementerian dan ia menimbulkan masalah kepada guru.
“Oleh itu, saya sangat setuju sekiranya Suruhanjaya Pendidikan ditubuhkan supaya mana-mana ‘kepimpinan organisasi’ yang hadir atau dilantik itu, diawasi dan menjalankan tugas berasaskan keperluan dasar pendidikan negara, bukan sebaliknya,” katanya.
Dalam pada itu, Md Amin berkata peranan PIBG wajar diperkasakan kerana kejayaan atau sahsiah pelajar bukan hanya tanggungjawab sekolah, tetapi hasil kerjasama erat antara ibu bapa dan guru.
Beliau berkata peranan PIBG boleh diperkasakan dengan memastikan ibu bapa tidak memandang ringan kepentingan mesyuarat PIBG, dengan hadir dan bersama-sama memberi pandangan menambah baik perjalanan pengajaran dan pembelajaran serta pentadbiran sekolah.
Md Amin berkata model kerjasama dengan menyediakan platform untuk ibu bapa dan guru bekerjasama itu, telah dilaksanakan di luar negara seperti Amerika Syarikat (AS) yang membenarkan ibu bapa hadir secara sukarela ke sekolah semasa sesi pembelajaran anak-anak mereka.
“Di AS ibu bapa diwajibkan hadir dan bersama membantu guru dalam sesi pembelajaran di sekolah untuk tujuh hari dalam setahun, dan cara itu dapat membantu setiap keluarga memahami isu atau perjalanan sekolah anak-anak mereka.
“Sekarang ini, kita di Malaysia masyarakat dan sekolah seakan terpisah, ibu bapa hanya hantar dan ambil anak-anak, yang lainnya diserahkan kepada sekolah untuk selesaikan,” katanya.
Bagi Jufitri usaha memperkasakan PIBG, menuntut kerajaan menyediakan peruntukan khas di dalam belanjawan negara bagi menjamin institusi itu dapat melaksanakan peranannya dengan lebih efisien.
Inisiatif tersebut telah dimulakan oleh kerajaan Selangor, dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1,000 kepada PIBG sekolah seluruh negeri itu tahun lepas, bagi melaksanakan program masing-masing.
Terdahulu, penganjuran forum berkenaan menjadikan Selangor negeri pertama menganjurkan perbincangan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, bagi meneliti cabaran dan hala tuju sistem pendidikan masa kini.
-- BERNAMA