KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Jumlah hasil petroleum negara dari tahun 2018 hingga 2024 adalah sebanyak RM775.2 bilion, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata berdasarkan data daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas), jumlah itu merangkumi RM284.8 billion bagi Semenanjung Malaysia, RM205.0 billion bagi Sabah dan RM285.4 billion untuk Sarawak.
Dalam pada itu, jumlah pelaburan petroleum Malaysia bagi tempoh sama telah mencecah RM256 billion, di mana RM86.5 bilion dari Semenanjung Malaysia, RM56.3 bilion dari Sabah dan RM113.2 bilion bagi Sarawak.
"Peratusan keseluruhan pelaburan berbanding hasil huluan Malaysia adalah sebanyak 33 peratus iaitu Semenanjung Malaysia (30 peratus), Sabah (27 peratus) dan Sarawak (40 peratus)," katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Mordi Bimol (PH-Mas Gading) yang ingin tahu berapakah jumlah kos eksplorasi dan kos pengeluaran tahunan Petronas bagi operasi minyak dan gas di setiap negeri pengeluar dari 2018 hingga 2024 serta peratusan kos tersebut berbanding nilai hasil keseluruhan.
-- BERNAMA