SEPANG, 24 Okt (Bernama) -- Menteri-Menteri Luar dari seluruh ASEAN terus tiba di Malaysia hari ini menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 sementara negara tuan rumah bersiap sedia menerima kehadiran para pemimpin serantau dan antarabangsa ke perhimpunan terpenting blok itu.
Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas tiba bersama delegasinya pada 9.50 pagi di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Sementara itu, Menteri Luar Indonesia Sugiono yang diiringi Menteri Penyelaras Politik dan Hal Ehwal Keselamatan Negara Djamari Chaniago tiba pada 11.48 pagi.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini.
Sidang kemuncak itu bakal menghimpunkan pemimpin daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Jepun dan India.
Dijangka menjadi perhimpunan ASEAN terbesar sejak penubuhan blok itu pada 1967, sidang kemuncak berkenaan akan menyaksikan kehadiran pemimpin dunia termasuk Presiden AS Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.
Selain itu, sidang kemuncak berkenaan juga bakal menyaksikan penglibatan aktif Timor-Leste dalam proses kemasukannya sebagai anggota ke-11 ASEAN, yang dijangka dimuktamadkan semasa persidangan pada 26 Okt ini.
-- BERNAMA