KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Kutipan tol bagi Seksyen 1 Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) akan mula dilaksanakan pada 12.01 tengah malam ini (25 Okt), selepas hampir dua bulan pengguna menikmati tol percuma sejak laluan itu dibuka pada 30 Ogos lepas.
Menurut EKVE Sdn Bhd, pelaksanaan kutipan tol itu menandakan fasa operasi penuh lebuh raya tersebut yang menghubungkan kawasan Ampang, Hulu Langat dan Sungai Long, di bawah pengendalian syarikat konsesi tersebut.
“Sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan MADANI untuk meringankan beban rakyat, pengguna EKVE telah menikmati tol percuma sejak jajaran Seksyen 1 dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Ogos 2025.
“Langkah ini diberikan sebagai tempoh pelepasan tol sementara bagi membolehkan pengguna membiasakan diri dengan laluan baharu serta menggalakkan aliran trafik lebih lancar antara kawasan Ampang, Hulu Langat dan Sungai Long,” menurut kenyataan itu.
Kutipan tol di Seksyen 1 Lebuhraya EKVE akan dilaksanakan sepenuhnya secara elektronik menggunakan kad Touch ‘n Go, SmartTAG dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
EKVE turut menasihatkan pengguna agar mematuhi peraturan keselamatan jalan raya dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui ke semua plaza tol ini bagi memastikan perjalanan yang lancar ke destinasi masing-masing.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan dengan menghubungi hotline EKVE di talian 1-300-88-3583.
-- BERNAMA