Oleh Thivyamalini Ramalu
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Thailand mengukuhkan komitmennya terhadap pelaksanaan inisiatif serantau, dengan menekankan kepentingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) serta keperluan mengekalkan perpaduan dalam kalangan negara anggota ASEAN, kata Menteri Perdagangannya Suphajee Suthumpun.
Bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) di sini hari ini, Supahjee menyifatkan perbincangan itu berjalan dengan semangat kerjasama yang membina, dengan semua menteri dan perwakilan menunjukkan komitmen jitu untuk memajukan beberapa inisiatif penting.
“Secara khususnya, DEFA merupakan komponen yang sangat penting. Kami telah mencapai kemajuan yang memberansangkan dan menyasarkan untuk menyiapkannya menjelang tahun depan,” katanya sambil menambah bahawa Bangkok komited terhadap inisiatif DEFA serta beberapa keutamaan serta inisiatif lain yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.
AECC, satu daripada tiga Majlis Komuniti ASEAN, merupakan badan penyelaras yang memantau pelaksanaan di bawah tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN.
Mesyuarat AECC diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Okt ini.
Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN akan datang, Suphajee menegaskan kepentingan strategik untuk mengekalkan perpaduan ASEAN, terutama dalam menghadapi landskap ekonomi dan geopolitik global yang mencabar ketika ini.
“ASEAN kini amat penting memandangkan berlakunya perubahan arah perdagangan serta ketidaktentuan geopolitik global. Justeru, kita perlu memastikan perpaduan ASEAN kekal kukuh supaya blok ini berada dalam kedudukan yang kuat dalam perdagangan antarabangsa,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh perdagangan dalam blok serantau, mengembangkan kerjasama digital dan mempercepat peralihan ke arah ekonomi yang lebih hijau dan mampan.
Pengarah Institut Pengajian Asia Timur di Universiti Thammasat, Thailand, Prof Madya Dr Chaiwat Meesanthan berkata sidang kemuncak itu membuka peluang kepada negara anggota seperti Thailand untuk memperkukuh hubungan perdagangan serantau serta menarik lebih banyak pelaburan.
Dari Januari hingga Ogos 2025, perdagangan dua hala Malaysia-Thailand bernilai US$18.64 bilion (RM78.79 bilion). Kedua-dua negara menyasarkan untuk meningkatkan jumlah perdagangan itu kepada US$30 bilion (RM126.81 bilion) menjelang 2027.
Pada 2024, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan berjumlah US$25.03 bilion (RM114.56 bilion).
-- BERNAMA