Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 24 Okt (Bernama) -- Thailand sedang memuktamadkan perjanjian damai dengan Kemboja bagi menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan, dengan satu pengisytiharan bersama dijangka ditandatangani di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand Nikorndej Balankura berkata butiran perjanjian itu masih dalam peringkat draf dan prosesnya berjalan seperti dirancang.
“Apa yang boleh saya katakan ketika ini ialah perjanjian itu akan memastikan kedua-dua pihak komited terhadap gencatan senjata, mengelak sebarang provokasi lanjut, serta mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini,” katanya pada sidang media Jumaat.
Terdahulu, rundingan empat pihak melibatkan Amerika Syarikat, Malaysia, Thailand dan Kemboja telah diadakan pada 12 dan 17 Okt di Kuala Lumpur, bertujuan memulihkan hubungan dua hala antara Thailand dan Kemboja.
Namun, Nikorndej yang juga Ketua Pengarah Jabatan Penerangan menegaskan bahawa perbincangan mengenai perjanjian itu pada asasnya merupakan rundingan dua hala antara Thailand dan Kemboja.
Beliau menambah bahawa mekanisme dua hala sedia ada terus berfungsi dengan berkesan, menghasilkan keputusan yang ketara, kemajuan dan perkembangan konkrit.
“Thailand benar-benar berharap kedua-dua pihak akan terus berunding dengan keikhlasan dan iktikad baik, yang akan membantu mewujudkan suasana kondusif bagi memulihkan hubungan ke tahap normal,” katanya.
Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata bahawa majlis menandatangani perjanjian akhir antara Thailand dan Kemboja itu akan disaksikan oleh beliau dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu berhubung sempadan sepanjang 817 kilometer telah memuncak kepada konfrontasi ketenteraan pada akhir Julai, sebelum pertempuran dihentikan secara mendadak susulan perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN di Putrajaya pada 28 Julai.
-- BERNAMA