KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura Gan Kim Yong hari ini berkata adalah penting bagi ASEAN dan rakan dialognya, Amerika Syarikat (AS), untuk terus berinteraksi dan bekerjasama bagi memperkukuh hubungan ekonomi serta kerjasama geopolitik.
Bercakap kepada pemberita, Gan berkata kehadiran Presiden AS Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 kali ini sudah memberi isyarat bahawa AS melihat blok ekonomi itu sebagai rakan penting, termasuk dalam pertukaran antara rakyat.
“Saya percaya melalui dialog dan interaksi, kami dapat meningkatkan persefahaman bersama serta mengelak salah faham atau kekeliruan. Ini amat penting untuk memperkukuh hubungan antara AS dan rantau Asia-Pasifik,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-26 di sini hari ini.
Gan berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai apa yang dianggap sebagai hasil yang berjaya daripada pertemuan atau interaksi dengan Trump memandangkan wujud persepsi bahawa AS semakin mengurangkan keutamaan terhadap Asia Tenggara dari segi ekonomi.
Beliau menegaskan komunikasi berterusan di semua peringkat - daripada kepimpinan tertinggi hingga menteri, pegawai dan sektor perniagaan - amat penting bagi memperdalam hubungan dan mengenal pasti peluang baharu untuk bekerjasama.
Gan turut menyatakan bahawa syarikat-syarikat Amerika telah lama menjadi pelabur aktif di rantau ini, mendapat manfaat bersama melalui perdagangan, pelaburan dan perkongsian rantaian bekalan, yang mencerminkan kelebihan bersama dalam hubungan kukuh ASEAN - AS.
Sementara itu, beliau berkata ASEAN telah mencapai kemajuan besar dalam Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), dengan blok itu mencapai kesimpulan penting hari ini selepas hampir dua tahun rundingan.
Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura, apabila DEFA dimuktamadkan, perjanjian itu akan menandakan bab baharu dalam perjalanan integrasi digital ASEAN dan membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan pelbagai saiz untuk memanfaatkan pasaran digital ASEAN yang berkembang pesat.
Gan berkata DEFA disasarkan dimuktamadkan dan ditandatangani pada 2026.
“Kami sangat gembira kerana telah mencapai kesimpulan yang ketara hari ini. Kami akan bergerak ke peringkat seterusnya untuk memuktamadkan perjanjian itu tahun depan dan menandatanganinya supaya ia dapat menjadi platform dan asas bagi negara anggota ASEAN bekerjasama dalam platform digital,” katanya.
Selain DEFA, negara anggota ASEAN turut menandatangani beberapa perjanjian penting lain termasuk penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN (ATIGA), Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 yang dinaik taraf dan Memorandum Persefahaman Grid Kuasa ASEAN yang Dipertingkatkan.
Gan mewakili Singapura pada Mesyuarat AECC hari ini yang dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Mesyuarat AECC ke-26 itu diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Okt 2025.
Pada 2024, ASEAN merupakan rakan dagang terbesar Singapura, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah US$220 bilion. Aliran masuk pelaburan langsung asing Singapura ke ASEAN pula berjumlah US$14.5 bilion, menggambarkan hubungan ekonomi yang kukuh dan semakin berkembang antara Singapura dan rantau ASEAN.
-- BERNAMA