PUTRAJAYA, 24 Okt (Bernama) -- Kerajaan dan badan kehakiman hari ini melancarkan garis panduan khas yang komprehensif bagi memperkukuh pengendalian kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata garis panduan itu bukan sekadar penambahbaikan teknikal tetapi satu pendekatan menyeluruh berasaskan keadilan yang peka trauma.
“Ia disemak semua bagi menyesuaikan amalan dengan cabaran semasa, peningkatan kes baharu dan perubahan undang-undang,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran garis panduan khas pengendalian kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2015 di Istana Kehakiman hari ini.
Beliau berkata usaha itu sejajar dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang menegaskan hak setiap kanak-kanak untuk dilindungi daripada penderaan dan eksploitasi.
Azalina berkata pada 3 Mac lepas, kerajaan menguatkuasakan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 dan beberapa akta lain untuk memastikan keseragaman dalam sistem perundangan serta memperkukuh perlindungan kepada saksi kanak-kanak.
Beliau berkata garis panduan itu menekankan empat komponen utama iaitu pelaporan dan siasatan awal beretika untuk meminimumkan trauma terhadap mangsa, prosedur mahkamah mesra kanak-kanak, termasuk penggunaan rakaman video dan pautan langsung, pelantikan penyokong saksi atau pendamping guaman bagi membantu mangsa dan sokongan psikososial dan pemulihan pasca perbicaraan yang berterusan.
Azalina berkata turut digariskan ialah latihan kepada semua pihak berkaitan iaitu pegawai penyiasat, pendakwa, hakim, pegawai kebajikan dan profesional kesihatan agar pelaksanaan selaras dengan semangat perlindungan kanak-kanak.
Beliau berkata walaupun garis panduan itu belum bersifat mengikat secara undang-undang, ia menjadi asas penting penyelarasan seluruh agensi dan membuka ruang untuk pewartaan sebagai prosedur mandatori pada masa hadapan.
Sementara itu, Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dalam ucapan beliau berkata badan kehakiman memandang serius keperluan untuk mewujudkan satu garis panduan komprehensif supaya setiap kes melibatkan kanak-kanak dikendalikan dengan penuh kepekaan, konsisten dan berkesan.
Beliau berkata garis panduan itu untuk memastikan proses keadilan tidak sesekali menambah beban atau trauma kepada mangsa, sebaliknya membuka ruang untuk pemulihan dan perlindungan.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak semakin mendapat perhatian dan kebimbangan serius dalam masyarakat. Statistik menunjukkan peningkatan ketara dalam jumlah kes yang dibawa ke mahkamah melibatkan kes cabul, rogol serta eksploitasi seksual dalam talian,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan garis panduan itu diharap akan memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap komitmen semua pihak dalam melindungi dan memelihara kesejahteraan kanak-kanak.
Sementara itu, Azalina berkata pihak berkuasa sedang memperketatkan pengawasan terhadap ekosistem dompet elektronik untuk mengesan pemindahan mencurigakan yang berkaitan dengan perdagangan kandungan haram.
Beliau mengulas mengenai pendedahan terbaru oleh Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berhubung Op Pedo apabila seorang pelajar berusia 17 tahun didapati memperoleh RM76,000 dalam tempoh sembilan bulan hasil jualan bahan penyalahgunaan kanak-kanak dalam talian.
Sebelum ini, Mohd Khalid berkata remaja itu mengendalikan satu kumpulan telegram yang menjual kandungan diperoleh daripada Tumblr dengan harga sehingga RM50 bagi setiap video dan remaja itu menerima bayaran melalui dompet elektronik dan transaksi bank berasaskan pengimbas kod QR.
Beliau berkata sistem keadilan semasa mempunyai mahkamah dan garis panduan untuk menangani kes sebegini, namun menekankan pencegahan mesti bermula di rumah.
“Saya tidak pasti apa yang berlaku tetapi saya terkejut seorang kanak-kanak terlibat,” katanya.
-- BERNAMA