DUNIA

Filipina Sasar COC Laut China Selatan Ditandatangani Ketika Jadi Pengerusi ASEAN 2026

24/10/2025 07:26 PM

MANILA, 24 Okt (Bernama-PNA) -- Filipina berharap Kod Tatakelakuan (COC) yang telah lama dinantikan di Laut China Selatan dapat dimuktamadkan dan sedia untuk ditandatangani ketika negara itu memegang jawatan sebagai pengerusi ASEAN pada 2026.

Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan bahawa semasa taklimat lawatan rasmi Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, jurucakap Hal Ehwal Luar Angelica Escalona berkata Manila akan bekerjasama rapat dengan negara anggota ASEAN bagi menggesa pemuktamadan awal kod itu apabila ia menerajui blok serantau berkenaan.

“Berkaitan Kod Tatakelakuan, sebagai pengerusi akan datang, Filipina akan bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dan China bagi memuktamadkan satu kod tatakelakuan yang berkesan, bermakna dan mengikat dari segi undang-undang di Laut China Selatan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada COC dijangka siap untuk ditandatangani menjelang 2026, beliau berkata: “Kami optimistik.”

COC yang dicadangkan itu berasaskan Deklarasi Tingkah Laku Pihak-Pihak Berkaitan di Laut China Selatan 2002 dan bertujuan menyediakan satu set peraturan bagi mengurus ketegangan di kawasan berkenaan yang menyaksikan beberapa negara terlibat dalam pertikaian maritim.

Pada majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur, Malaysia pada 26 hingga 28 Okt, Malaysia akan secara rasmi menyerahkan jawatan pengerusi ASEAN kepada Presiden Marcos.

Selain isu maritim, Escalona berkata Filipina bersama-sama negara anggota ASEAN turut akan menjalin libat urus dengan China dalam pelbagai bidang, termasuk meningkatkan kerjasama ekonomi di rantau ini.

“Apabila kita bercakap tentang hubungan dengan China, Laut Filipina Barat bukanlah keseluruhan hubungan kita dengan China. Kita turut bekerjasama dengan China dalam bidang lain termasuk di bawah tonggak ekonomi ASEAN,” jelasnya.

Antara perjanjian utama yang akan ditandatangani pada sidang kemuncak itu ialah Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0.

-- BERNAMA-PNA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482634