JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Tiga Lelaki Bergaduh Berebut Teman Wanita

24/10/2025 07:35 PM

SHAH ALAM, 24 Okt (Bernama) -- Polis menahan tiga individu dipercayai terlibat dengan satu kes pergaduhan di Bandar Setia Alam, di sini yang video kejadian tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden pergaduhan membabitkan empat orang lelaki itu pada 3.51 petang, semalam.

Beliau berkata mengikut laporan, kejadian itu dipercayai berlaku di Jalan Setia Y U13/Y Bandar Setia Alam dan sempat dirakam orang awam yang berada di lokasi ketika kejadian.

“Bertindak di atas maklumat, polis daripada pasukan D7 (Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gengsterisme) menahan dua lelaki masing-masing berusia 44 dan 69 tahun di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada pukul 8 malam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata hasil pandu arah kedua-dua suspek, telah membantu polis merampas sebatang kayu berukuran lebih kurang 91 sentimeter (cm) panjang di lokasi pergaduhan.

Beliau berkata polis kemudiannya menahan seorang lagi suspek berusia 22 tahun di hadapan rumah di Taman Kapar, Klang manakala seorang lagi suspek masih giat dikesan.

“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek dipercayai saling mengenali dan pergaduhan dipercayai menjurus kepada kes cemburu, apabila teman wanita seorang daripada suspek keluar janji temu dengan suspek yang lebih muda,” katanya.

Mohd Iqbal kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja melakukan rusuhan menggunakan senjata kayu atau rotan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sjn Mohamad Hanafi Abdul Ghani ditalian 010-3728932 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482651