Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Thailand bersepakat untuk terus memperkukuh hubungan perdagangan dengan meneroka peluang dalam sektor pertumbuhan utama, termasuk industri halal dan pertanian.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata amat penting bagi kedua-dua negara, yang menjadi antara tonggak utama ekonomi ASEAN untuk terus kekal sehaluan terutama dalam tempoh mencabar ketika ini susulan ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi.
“Usaha penambahbaikan dalam perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara diteruskan memandangkan Thailand kekal sebagai rakan dagang utama Malaysia.
“Kami juga mempunyai Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) di peringkat menteri yang ditubuhkan tahun lepas, dan jawatankuasa itu telah bersetuju untuk mengadakan mesyuarat seterusnya pada tahun depan,” kata Tengku Zafrul.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Perdagangan Thailand Suphajee Suthumpun, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Okt ini.
Mesyuarat selama setengah jam itu merupakan yang pertama antara Tengku Zafrul dan Suphajee sejak beliau dilantik sebagai menteri bulan lepas.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata Malaysia terbuka untuk menjalinkan kerjasama dalam perkongsian teknologi dan sumber.
Selain itu, turut diperbincangkan dalam mesyuarat itu ialah inisiatif perdagangan ASEAN seperti Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan perjanjian perdagangan bebas (FTA) ASEAN dengan rakan lain. Perbincangan tersebut berlangsung dalam suasana yang positif, katanya.
Thailand merupakan rakan dagang penting bagi Malaysia, menduduki tempat ketiga terbesar dalam ASEAN dan ketujuh di peringkat global, dengan nilai perdagangan dua hala berjumlah kira-kira US$18.64 bilion (US$1 = RM4.22) bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025.
Pada 2024, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara bernilai US$25.03 bilion, dan kedua-duanya menyasarkan untuk meningkatkan jumlah itu kepada US$30 bilion menjelang 2027.
Thailand juga dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perdagangan intra-ASEAN, mempertingkat kerjasama digital dan memperkasa inisiatif ke arah ekonomi yang lebih hijau dan mampan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Sidang kemuncak berkenaan akan menjadi antara perhimpunan terbesar dalam sejarah blok itu, dan berfungsi sebagai platform penting untuk memperteguh kerjasama serta menangani cabaran serantau dan global secara menyeluruh.
Tahun ini menandakan kali kelima Malaysia memegang tampuk Kepengerusian ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967. Malaysia sebelum ini mempengerusikan ASEAN pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
-- BERNAMA