KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- ASEAN hari ini melakar detik bersejarah dalam usaha merangka masa depannya secara kolektif dengan pelancaran laporan ASEAN Ahead: ASEAN Science, Technology and Innovation (STI) Ecosystem Foresight 2035 and Beyond (ASEAN Ahead).
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan menyebut laporan dibangunkan di bawah kepimpinan ASEAN Foresight Alliance dan diterajui Akademi Sains Malaysia (ASM) itu, menjadi pelan strategik untuk memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai kuasa besar global.
“Laporan ini membentangkan kemungkinan empat senario masa depan ASEAN menjelang 2035, yang menekankan bahawa peralihan ASEAN ke arah masa depan berasaskan inovasi tidak hanya bergantung kepada pelaburan kewangan, tetapi juga pada amalan tadbir urus berasaskan nilai yang menjunjung keterangkuman, kemampanan dan pemikiran strategik jangka panjang.
“Senario yang disasarkan iaitu Kemakmuran Bersama, menggambarkan sebuah rantau dengan kemajuan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan perpaduan sosial bergerak seiring. Untuk merealisasikannya, laporan ini menegaskan keperluan kerjasama yang lebih kukuh antara kerajaan, sektor perniagaan dan institusi penyelidikan di seluruh ASEAN,” menurut kenyataan itu.
Laporan berkenaan dilancarkan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Presiden ASM merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen.
Laporan ASEAN Ahead yang diluluskan oleh Menteri dan Jawatankuasa ASEAN pada Jun 2024 di Siem Reap, Kemboja, telah diiktiraf secara rasmi sebagai tunjang kepada ASEAN Plan of Action on STI (APASTI) 2026-2035.
Ia merupakan latihan daya jangka serantau pertama seumpamanya yang direka untuk melengkapkan ASEAN dengan strategi berdaya masa hadapan dalam menghadapi perubahan global yang pesat
Menurut MOSTI, di teras laporan ASEAN Ahead adalah Rangka Kerja Triple-10 STI ASEAN yang berasaskan Rangka Kerja 10-10 MySTIE Malaysia yang diperkenalkan pada 2020, dengan menyepadukan 10 pemacu sosioekonomi dan 10 pemacu sains dan teknologi bagi menjana inisiatif berimpak tinggi yang mempercepat pertumbuhan.
“ASEAN kini membawa model ini ke tahap seterusnya dengan memasukkan 10 Kuasa Perubahan Global yang dijangka membentuk semula masyarakat dan ekonomi ASEAN dalam dekad akan datang.
“Kuasa-kuasa transformasi ini, termasuk peralihan demografi, gangguan teknologi dan reformasi tadbir urus, mengutamakan keperluan mendesak bagi ASEAN untuk memperkukuh keupayaan serta kesiapsiagaan STI, bukan sekadar untuk mengekalkan daya saing, tetapi juga mempertingkat integrasi serantau ASEAN dalam era penuh ketidaktentuan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dalam prakata laporan berkenaan berkata penerbitan itu penting bagi menyediakan pandangan strategik menyeluruh mengenai hala tuju masa depan ASEAN dengan menekankan peranan kritikal STI sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi mampan dan pengukuhan integrasi serantau.
Chang pula berkata MOSTI kekal komited memajukan penyelidikan, teknologi dan inovasi sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dan serantau bagi memastikan rantau ini kekal tangkas serta responsif terhadap perubahan global dan peluang baharu yang muncul.
Menurut Tengku Mohd Azzman, laporan ASEAN Ahead menyediakan kerangka strategik untuk meletakkan rantau ini sebagai kuasa besar global, memastikan ASEAN bukan sekadar bertindak balas terhadap perubahan, tetapi turut membentuk perubahan tersebut.
Laporan penuh ASEAN Ahead boleh dibaca di https://www.akademisains.gov.my/asean-ahead/.
-- BERNAMA