KULIM, 24 Okt (Bernama) -- Banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah ini disifatkan antara yang terburuk pernah berlaku berikutan paras air yang naik begitu mendadak selepas hujan lebat selama beberapa jam semalam.
Seorang remaja dari Kampung Padang Limau di sini, Muhammad Haris Azmi, 17, berkata air mula memenuhi kawasan rumahnya sekitar 5 petang sebelum mencapai paras kira-kira 0.5 meter pada 8 malam.
Beliau berkata keadaan itu agak membimbangkan kerana bapanya Azmi Hashim, 57, sedang terlantar akibat strok dan tidak boleh bergerak.
“Ketika kejadian banjir, saya berada di rumah bersama ibu dan seorang abang. Masa air mula naik, kami bincang macam mana nak pindahkan ayah yang sedang terlantar.
“… tapi tidak lama selepas itu, kami dihubungi pihak Hospital Kulim yang telah menghantar sebuah ambulans dan membantu memindahkan ayah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Menengah Agama Madrasah Ihsaniah, Kampung Jangkang di sini hari ini.
Beliau berkata keadaan banjir kali ini agak buruk jika dibandingkan dengan kejadian yang berlaku sebelum ini, namun bersyukur kerana dapat berpindah segera ke PPS, sekali gus menghilangkan rasa bimbang terhadap keadaan bapanya.
Seorang lagi penduduk Kampung Padang Limau, Jamaliah Bakar, 57, berkata air sudah mula naik kira-kira 5 petang, namun masih tidak membimbangkan sebelum paras air naik mendadak sehingga ke paras pinggang tiga jam kemudiannya.
Beliau berkata banyak barang-barang di dalam rumah termasuk perabot dan barangan elektrik tidak sempat diselamatkan, menyebabkan dia menanggung kerugian.
“Rumah saya memang terletak di kawasan banjir tapi sebelum ini tak pindah sebab air tak naik tinggi sangat, kali terakhir banjir teruk macam ini di sini pada 2013, sekarang jadi semula,” katanya.
Sementara itu, R.Kasthuri, 41, pula berkata kawasan rumahnya sudah lama tidak dinaiki air tetapi kali ini hujan lebat dalam tempoh yang lama menyebabkan air sungai berhampiran melimpah ke kawasan sekitar.
“Kali ini banjir agak teruk juga, banyak barang dalam rumah tidak sempat diselamatkan sebab air naik dengan drastik, buku-buku sekolah anak juga tak sempat diselamatkan,” katanya yang bertugas sebagai guru tadika.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah dalam kenyataan memaklumkan setakat 4 petang tadi sebanyak 1,007 mangsa terdiri daripada 311 keluarga dipindahkan ke lapan PPS di dua daerah di negeri berkenaan.
Daerah Kulim mencatatkan jumlah mangsa paling banyak yang dipindahkan iaitu 955 mangsa daripada 287 keluarga ke tujuh PPS, manakala satu lagi daerah yang terjejas adalah Kuala Muda iaitu 52 mangsa daripada 24 keluarga ke satu PPS.
-- BERNAMA