KUALA LUMPUR, Oct 24 (Bernama) -- Kerajaan Timor-Leste melancarkan panduan media komprehensif untuk membantu pengamal media membuat liputan mengenai penyertaan bersejarah negara itu sebagai anggota ASEAN pada 26 Okt ini.
Tersedia dalam bahasa Inggeris dan Tetum, panduan itu menyediakan maklumat latar belakang, fakta utama, sumber multimedia dan butiran logistik untuk laporan media nasional dan antarabangsa mengenai kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan diadakan dari 26 hingga 28 Okt di sini.
“Panduan ini bertujuan untuk membantu pengamal media menyampaikan dengan tepat mengenai kepentingan keanggotaan ASEAN bagi 1.3 juta rakyat Timor-Leste dan masa depan kami sebagai sebahagian daripada wilayah (ASEAN) yang mempunyai lebih 680 juta penduduk. Ini adalah kisah ketabahan, perkongsian dan kerjasama serantau," menurut kerajaan Timor-Leste dalam kenyataan di portal rasminya.
Penerbitan itu juga menggariskan perjalanan 14 tahun Timor-Leste, daripada permohonan keahlian ASEAN pada 2011 kepada penyertaan penuh sekali gus mengetengahkan peluang ekonomi dan diplomatik yang akan dibawa oleh keahlian itu.
Timor-Leste, yang memperoleh kemerdekaan pada 2002 dan menjadi pemerhati ASEAN pada 2022, akan diterima secara rasmi sebagai anggota terbaharu blok itu semasa sidang kemuncak yang dianjurkan oleh Malaysia hujung minggu ini.
Ditubuhkan pada 1967, ASEAN kini terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Dengan kemasukan Timor-Leste, blok itu berkembang kepada 11 ahli yang mewakili gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) melebihi AS$3.8 trilion.
-- BERNAMA