SUKAN

Lebih 6,000 Peserta Sertai KBS Masters Games 2025

25/10/2025 12:04 AM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Lebih 6,000 peserta berusia antara 40 hingga 60 tahun menyertai Kejohanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Masters Games 2025 yang berlangsung mulai hari ini hingga Ahad ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata penganjuran edisi kedua kejohanan itu membuktikan semangat kesukanan tidak mengenal usia.

Katanya, acara itu juga menunjukkan golongan warga emas mampu mengekalkan tahap kecergasan dan daya juang tinggi seiring generasi muda.

“Selain menjadi medan pertandingan sihat, KBS Masters Games turut memupuk semangat kesukanan, memperkukuh hubungan sosial serta menyokong kesejahteraan komuniti menjelang status Malaysia sebagai negara menua pada 2048,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian kejohanan berkenaan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.

Sebanyak 23 acara sukan dipertandingkan pada edisi kali ini membabitkan venue sekitar Lembah Klang dan Putrajaya.

Antara acara yang bakal menjadi tumpuan termasuk hoki, akuatik, berbasikal, bola sepak, boling padang, pickleball dan badminton.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482754