JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ Melaka Sita Empat Lori Jongket Bawa Muatan Tar Melebihi Berat Ditetapkan

24/10/2025 11:26 PM

MELAKA, 24 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menyita empat lori jenis jongket yang membawa muatan tar (premix) dengan berat melebihi 50 peratus daripada berat muatan ditetapkan, menerusi Ops Perang Lebih Muatan bermula 14 Okt hingga hari ini.

Pengarahnya Siti Zarina Mohd Yusop berkata kesemua lori berkenaan, disita di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) hasil pemeriksaan ke atas 284 lori perdagangan di beberapa lokasi sekitar Melaka.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan operasi berkenaan, sebanyak 97 buah lori telah diarah untuk ditimbang dan daripada jumlah itu, 64 daripada lori terbabit dikenakan tindakan saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kerana membawa muatan berlebihan.

“Operasi berkenaan melibatkan 35 anggota JPJ dan enam pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Ops Perang Lebih Muatan dilaksanakan bermula 14 Okt hingga 31 Dis ini selaras pengumuman Menteri Pengangkutan, dan JPJ Melaka telah memperhebat operasi secara menyeluruh di seluruh negeri bagi membanteras kesalahan kenderaan perdagangan yang membawa muatan berlebihan.

Siti Zarina berkata operasi khas itu, diadakan bagi memastikan semua pemandu serta pemilik kenderaan perdagangan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan kaedah-kaedah di bawahnya.

Beliau berkata pihaknya akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin, infrastruktur awam terpelihara serta tahap pematuhan undang-undang dalam industri pengangkutan terus dipertingkatkan, katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482759