AM

APM Hadapi Cabaran Pindahkan Mangsa Banjir Di Kulim

25/10/2025 11:07 AM

KULIM, 25 Okt (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim berdepan pelbagai cabaran pada peringkat awal operasi memindahkan mangsa banjir di daerah ini, termasuk kekurangan aset dan anggota.

Penolong Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim Leftenan (PA) Azman Amat berkata keadaan itu berpunca daripada peningkatan mendadak jumlah mangsa yang perlu dipindahkan, terutamanya semalam.

Bagaimanapun, katanya, situasi tersebut dapat diatasi selepas operasi pemindahan mendapat bantuan daripada pelbagai agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Banjir kali ini lebih mencabar berbanding sebelum ini kerana kali ini lebih ramai mangsa yang dipindahkan dan kami kekurangan aset pada mulanya, tetapi Alhamdulillah kita dapat atasi masalah tersebut.

“Pelbagai agensi lain turut membantu dan APM dari daerah lain turut menghantar anggota untuk bantu kita menguruskan bencana banjir di daerah Kulim,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Azman, satu lagi cabaran yang dihadapi ialah sikap segelintir penduduk yang enggan berpindah walaupun rumah mereka telah dinaiki air atau laluan keluar masuk terputus akibat banjir.

Beliau berkata, dalam keadaan sedemikian pihaknya mengambil pendekatan menasihatkan penduduk supaya berpindah segera atau sekurang-kurangnya sentiasa memantau paras air dari semasa ke semasa.

“Nasihat saya kepada masyarakat di sekitar Kulim, sentiasalah peka dengan keadaan semasa dan sekiranya paras air meningkat, dengarlah arahan serta nasihat agensi penyelamat untuk berpindah segera bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 45 anggota APM Daerah Kulim, dibantu pasukan dari daerah lain, sentiasa bersiap siaga dan memantau keadaan semasa berikutan cuaca yang masih hujan.

“Beberapa sungai di daerah ini telah mencapai paras bahaya dan dengan keadaan cuaca yang masih hujan, kemungkinan paras air akan terus meningkat,” katanya.

Setakat pagi ini, jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 1,858 orang daripada 587 keluarga berbanding 1,009 orang daripada 312 keluarga malam tadi, dengan enam PPS baharu dibuka, menjadikan keseluruhan 14 PPS kini beroperasi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482846