AM

Mangsa Banjir Di Tiga Negeri Terus Meningkat

25/10/2025 11:14 AM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri terus meningkat kepada 5,806 orang pagi ini, berbanding 4,743 orang malam tadi.

Di PERAK, jumlah mangsa di empat daerah terjejas iaitu Larut Matang Selama, Manjung, Kerian dan Perak Tengah, meningkat kepada 2,922 orang daripada 993 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 2,806 orang daripada 955 keluarga malam tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, satu lagi PPS dibuka, menjadikan keseluruhan 26 PPS kini beroperasi dengan pertambahan jumlah mangsa di semua pusat berkenaan.

Di PULAU PINANG, jumlah mangsa turut meningkat kepada 1,026 orang daripada 279 keluarga pagi ini, berbanding 928 orang daripada 252 keluarga malam tadi, dengan semua mangsa ditempatkan di tujuh PPS.

Menurut laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tujuh PPS itu terletak di tiga daerah iaitu empat di Seberang Perai Utara (SPU), dua di Seberang Perai Tengah (SPT), dan satu di Barat Daya di bahagian pulau.

Daerah SPU mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 778 orang daripada 212 keluarga yang ditempatkan di SK Lahar Yooi, Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang, Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting dan SK Padang Menora.

Sebanyak 217 mangsa daripada 58 keluarga pula berada di dua PPS di daerah SPT, masing-masing di SK Guar Perahu dan SMK Permatang Pasir, manakala di daerah Barat Daya, 31 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di SK Tan Sri Awang Salleh.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 1,858 orang daripada 587 keluarga berbanding 1,009 orang daripada 312 keluarga malam tadi, dengan enam PPS baharu dibuka, menjadikan keseluruhan 14 PPS kini beroperasi. Pokok Sena dan Baling merupakan daerah terbaharu terjejas akibat bencana itu.

“Sebanyak empat PPS dibuka di daerah Baling iaitu di SK Siong, SK Seri Bayu, Dewan Tun Abdul Razak (Lama) dan Kompleks Belia dan Sukan yang menempatkan 251 orang daripada 88 keluarga.

“Di Pokok Sena, satu PPS dibuka di Dewan Serbaguna Pokok Sena yang menempatkan 85 orang daripada 26 keluarga,” menurut kenyataan JPBN Kedah.

JPBN Kedah turut memaklumkan bahawa daerah Kulim mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,470 orang daripada 449 keluarga di lapan PPS, antaranya Surau Taman Sang Kancil, Dewan Kampung Paya Tok Betok, Sekolah Menengah Agama (SMA) Insaniah Jangkang dan SJKC Khai Min.

“Tiga lagi PPS ialah Dewan Orang Ramai Sungai Karangan, Surau Kampung Padang Meha dan SK Merbau Pulas. Manakala di daerah Kuala Muda, jumlah mangsa yang ditempatkan di SJKC Chong Cheng ialah 52 orang daripada 24 keluarga,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir mengeluarkan amaran banjir di daerah Langkawi, yang dijangka menjejaskan kawasan rendah dalam radius lima kilometer di sekitar Sungai Melaka, Kampung Padang Mat Sirat antara 4 pagi hingga 6 petang hari ini.

Empat sungai di Kedah dilaporkan melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Pendang di Pendang (3.26 meter), Sungai Chepir di Sik (36.7 m), Sungai Ketil di Kampung Bongor, Baling (60.8 m) dan Sungai Titi Kerbau di Pendang (7 m).

Dua lagi sungai berada pada paras waspada, iaitu Sungai Nawa di Pokok Sena (9.97 m) dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar (2.1 m).

-- BERNAMA 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482848