AM

ASEAN Kekal Teguh Meskipun Berdepan Ketidaktentuan Global - Mohamad Hasan

25/10/2025 11:50 AM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- ASEAN kekal teguh dan mencapai kejayaan meskipun berdepan dengan ketidaktentuan global serta persaingan antara kuasa besar, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata perpaduan dan daya tahan telah membantu blok serantau itu menghadapi tekanan luar serta mengekalkan kestabilan di tengah-tengah landskap geopolitik yang semakin tidak menentu.

“Pada pandangan masyarakat antarabangsa, ASEAN dilihat sebagai lambang keneutralan dan kawasan selamat di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik,” katanya berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mohamad berkata menerusi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, ASEAN telah berusaha untuk mengekalkan perpaduan dan matlamatnya, di samping merancang hala tuju tanpa mengabaikan nilai terasnya iaitu kepercayaan, dialog serta konsensus.

“Nilai-nilai inilah yang menjadi pengikat yang memberi kita kekuatan untuk menepis tanggapan dunia. Menjadi kisah kejayaan bagi sebuah rantau yang kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan sistem pemerintahan, namun tetap berkembang dengan baik,” katanya.

Mohamad berkata prinsip keterangkuman dan kemampanan perlu terus menjadi teras visi ASEAN sebagai usaha memastikan tiada negara anggota badan serantau itu yang keciciran.

Beliau berkata peluasan ASEAN termasuk kemasukan Timor-Leste dan semakin banyak rakan yang menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat dialog yang dihormati di peringkat antarabangsa.

Awal tahun ini, katanya Algeria dan Uruguay telah menyertai perjanjian berkenaan dan dengan penyertaan Finland dalam TAC kelak akan menjadikan jumlah negara menyertainya meningkat kepada 58.

Mohamad turut menekankan peranan ASEAN sebagai pengantara dalam membantu meredakan ketegangan Thailand dan Kemboja, di samping menyifatkannya sebagai “peringatan tentang betapa rapuhnya keamanan.”

“Hasil usaha mediasi tanpa jemu, ketegangan kini telah reda. Kita memuji kedua-dua negara (Thailand dan Kemboja) kerana memilih jalan diplomasi dan dialog untuk menyelesaikan pertikaian mereka,” katanya.

Mohamad turut mengulangi komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk mendukung usaha keamanan, sambil menyatakan pemeteraian perjanjian gencatan senjata dan penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) bakal menandakan pencapaian penting dalam diplomasi serantau.

Beliau berkata perpaduan perlu terus menjadi panduan ASEAN dalam menguruskan isu Laut China Selatan dan krisis Myanmar, dengan kedua-duanya memerlukan penyelesaian menerusi diplomasi dan kepercayaan.

AMM adalah sebahagian daripada mesyuarat yang diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang menghimpunkan pemimpin serantau untuk membincangkan isu-si utama dalam bidang politik, ekonomi, keselamatan menerusi tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482861