AM

FAMA Meterai MoU Dengan 10 Agensi, Perkukuh Jaringan Rantaian Bekalan Makanan Negara

25/10/2025 10:25 PM

GOPENG, 25 Okt (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hari ini menandatangani 10 Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pelbagai rakan strategik, bagi memperkukuh jaringan rantaian bekalan makanan negara dan memperluas pasaran produk agromakanan tempatan ke tahap lebih berdaya saing.

Majlis pemeteraian yang berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, Gopeng membabitkan perjanjian bersama agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), universiti, koperasi serta pemain industri utama dalam sektor agromakanan.

Antara pihak berkenaan ialah Usahawan Perlesenan KopieSatu, Grab, Amazon Web Services Malaysia Sdn Bhd (AWS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Nable (M) Sdn Bhd, RISDA Livestock Sdn Bhd, Atlas Pacific Corporation Sdn Bhd, CDC International Sdn Bhd, Golden Merchantile International Trading Corporation dan Petronas Lubricants International Sdn Bhd.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Zolkafly Harun dan Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri, bersama barisan pengurusan tertinggi agensi.

Aminuddin berkata kerjasama itu menjadi platform penting bagi menyatukan kepakaran pelbagai pihak dalam memperkukuh ekosistem agromakanan negara, yang kini berdepan pelbagai cabaran baharu seperti perubahan iklim, peningkatan kos pengeluaran serta persaingan global.

“MoU itu bukan sekadar simbolik tandatangan di atas kertas, sebaliknya manifestasi FAMA dan rakan strategik untuk memperluas capaian pasaran serta meningkatkan kecekapan rantaian nilai agromakanan negara.

“Perlu diingat, dunia juga berubah dengan pantas dan sektor agromakanan tidak terkecuali. FAMA mesti terus berevolusi daripada agensi pengurusan pasaran kepada agensi pembangunan pasaran strategik,” katanya ketika ditemui Bernama.

Melalui jaringan strategik itu, beliau berkata FAMA berhasrat membangunkan sistem pasaran berasaskan data dan teknologi digital, bagi menyusun semula ekosistem pemasaran hasil tani agar lebih efisien, berimpak tinggi serta memperkasa peranan usahawan melalui latihan, bimbingan dan akses pasaran yang lebih luas.

 Beliau berkata perkara itu turut membuka peluang pasaran baharu, yang mampu meningkatkan daya saing produk tempatan sekali gus memperkukuh kedudukan sektor agromakanan negara pada pasaran domestik dan antarabangsa.

“FAMA berperanan sebagai penyelaras, pemudah cara dan pemangkin pasaran yang menghubungkan pengeluar dengan pengguna secara holistik dari ladang hingga ke pasaran,” katanya.

Selain itu, Aminuddin berkata beliau yakin FAMA akan terus menjadi peneraju strategi pasaran nasional selaras dengan aspirasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), untuk membina sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan kompetitif pada peringkat global.

“MoU ini antara inisiatif atau usaha yang kita gerakkan, bagi memastikan FAMA terus kekal sebagai peneraju pembangunan dan penyelarasan pemasaran hasil tani serta memacu pembangunan sektor agromakanan negara,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483183