AM

Jet Pejuang TUDM Iringi Ketibaan Presiden Trump Untuk Hadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

26/10/2025 08:27 PM

Oleh Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Ketibaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di Malaysia hari ini dengan menaiki pesawat rasmi Air Force One bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 turut diiringi sebuah jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

TUDM, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan pesawat pejuang F/A-18D Hornet daripada Skuadron No 18 mengiringi pesawat khas yang membawaTrump sebaik ia memasuki ruang udara negara pada 9.24 pagi sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 9.55 pagi.

Menurut jurucakap TUDM, pesawat itu dikendalikan oleh Juruterbang Mejar Ahmad Nur Ikhwan Ahmad Tridi bersama Jurusensor Kapten Ahmad Nazhan Ahmad Nazrin.

Ini merupakan lawatan pertama Trump ke Malaysia dan Asia sejak beliau dipilih semula menjadi Presiden AS pada Januari lepas. 

Ketika berada di negara ini, beliau menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan mesyuarat dua hala Malaysia-AS serta menyaksikan pemeteraian perjanjian damai Kemboja-Thailand.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang membawa tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483579